SEORANG peniaga nasi kandar di Kangar didenda RM8,400 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kangar setelah mengaku salah atas tiga pertuduhan kerana menjual makanan sebelum jam 2 petang di bulan Ramadan lalu.
Hakim Mohamad Fauzi Ismail memutuskan, Roslan Shafie, 52, didenda RM8,400 bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.
Mengikut tiga kertas pertuduhan, Roslan didakwa melakukan kesalahan sama iaitu menjual makanan sebelum jam 2 petang di bulan Ramadan pada 23 Mac 2023, 28 Mac 2023 dan juga 9 April 2023.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Roslan didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (a) , Enakmen Jenayah Dalam Syarak iaitu mana-mana orang yang pada siang hari sebelum jam 2.00 petang dalam bulan Ramadan menjual sebarang makanan, minuman atau tembakau kepada mana-mana orang yang beragama Islam untuk dimakan, diminum atau dihisap adalah satu kesalahan.
Ia membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM5,000atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Ketua Pendakwa Syarie, Siti Fatimah Ahmad Maulana memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal atas kesalahan yang berulang kerana tertuduh masih berdegil dan meneruskan jualan dalam bulan Ramadan sebelum jam 2 petang walaupun serbuan telah dilakukan dan diberikan peringatan.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya dikurangkan hukuman kerana membiayai kos isterinya yang sedang sakit dan komitmen pinjaman yang ditanggung oleh tertuduh.
Tertuduh tidak diwakili Peguam. – SM