Nasional

Pengurusan wabak negara jadi bualan seluruh dunia

PENGURUSAN wabak Koronavirus (Covid-19) negara diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dikatakan menjadi bualan banyak negara.

Ini kerana pendekatan dasar negara yang bijak dalam menanangi pandemik dan sikap masyarakat yang prihatin sesama sendiri mendorong pengurangan impak wabak.

Berbanding negara-negara jiran dilihat terus mencatatkan peningkatan jangkitan Covid-19 yang tinggi setiap hari, Malaysia kini masih meneruskan pencegahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dan yang terkini, wabak pandemik Covid-19 telah merebak dan sekali lagi tatanan dunia berada dalam keadaan tidak menentu.

“Kita sebagai rakyat Malaysia boleh mendabik dada bahawa kita berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding jiran tetangga yang lain.

“Cara pengurusan wabak kita telah diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan menjadi bualan banyak negara.

“Atau secara mudahnya, kita kini “standing in the eyes of the world”, meminjam bait lagu Ella yang popular sewaktu Sukan Komanwel 1998 dahulu.

“Marilah kita berdoa mengharapkan yang terbaik buat negara-negara jiran yang masing-masing bergelut menguruskan perebakan wabak yang mengganas ini.”

Kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataannya hari ini yang memperakui pengurusan wabak negara dalam menangani pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Katanya, kepelbagaian dalam negara menjadi medium yang menyatukan rakyat Malaysia ketika menghadapi pelbagai cabaran.

Situasi sedemikian menyebabkan rakyat Malaysia yang pelbagai latar belakang akhirnya menguatkan hubungan sesama kaum.

“Kerjasama dan keprihatinan sesama negara malahan sesama insan harus kita tekankan dalam menjaga serta memelihara kerencaman budaya dan fahaman di Malaysia.

For there is no place like Malaysia, ungkapan ini bukan sekadar klise tetapi harus kita dalami sebagai kekuatan kita bersama.

“Kerana kerencaman dan kepelbagaian bukanlah suatu hal yang memecahbelahkan tetapi sewajarnya menyatukan kita.

“Itulah resipi kekuatan Selangor. Negeri bunga rampai atau melting pot ini mendapat manfaat limpahan yang besar daripada kebijaksanaan dan kemahiran warganya yang berasal sejauh Perlis hingga ke Sabah.

“Baik dari segi budaya, agama, latar belakang ekonomi mahupun fahaman politik, cogan kata Malaysia yakni ‘Bersekutu Bertambah Mutu” ternyata benar lagi penting.

“Serta menjadi pegangan untuk menguatkan hubungan antara kita semua, bersekali dengan Rukun Negara yang kita ikrarkan buat sekian kalinya,” ujarnya.

Sebelum itu, Amirudin mengajak masyarakat mengenang kembali sejarah pembentukan negara terutama berkaitan dengan Hari Malaysia pada 16 September.

Ini kerana, keunikan negara adalah bukan sahaja ada tarikh Kemerdekaan, bahkan mempunyai tarikh yang signifikan bersama berkaitan dengan Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Makanya Brunei, Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu telah mengikat janji untuk berada di bawah naungan suatu negara.

“Pada tanggal 16 September lahirlah sebuah negara persekutuan yang dipanggil Malaysia disaksikan lebih 30,000 orang di Stadium Merdeka,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button