Nasional

Pengundi positif Covid-19 mesti memakai topeng muka

Individu positif Covid-19 yang akan membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mesti memakai topeng muka dan penggunaan topeng muka untuk pengundi lain amat digalakkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pengundi yang didapati positif Covid-19 juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing.

“Pengundi positif Covid-19 tidak dibenarkan singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi dan mesti pulang segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan selamat, khususnya untuk mengurangkan risiko jangkitan, Dr Noor Hisham berkata pengundi positif Covid-19 mesti mematuhi penjarakan sosial yang selamat, yang juga amat digalakkan untuk pengundi lain.

Beliau berkata pengundi juga perlu menggunakan sanitizer tangan yang disediakan di pusat mengundi, atau membawa sanitizer tangan sendiri.

Dr Noor Hisham berkata individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan segera mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin, bagi melindungi diri mereka dan orang sekeliling.

“Mari kita bekerjasama mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pengundi dan kakitangan di pusat mengundi sepanjang PRU15,” katanya.

Dr Noor Hisham turut berkongsi infografik mengenai nasihat umum kepada pengundi PRU15 untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19, di laman Facebooknya semalam.

Beliau berkata petugas kesihatan akan ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundi positif Covid-19. Pengundi dinasihatkan mematuhi arahan yang dikeluarkan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button