Pengacara sensasi dan kontroversial, Azwan Ali mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) P098 Parlimen Gombak.
Adik kepada penyandang kerusi Parlimen Gombak itu berkata, tindakan menarik diri itu dilakukan selepas dia bermimpikan arwah ibunya ‘Mak Tom’ yang menasihatkannya supaya jangan bertanding.
“Saya bersyukur ada hikmah yang Allah SWT tunjuk supaya tidak bertanding, pertama kerana bisikan arwah Mak Tom dalam mimpi saya, jadi dia nasihatkan saya jangan bertanding,” katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui para pemberita di Pusat Pencalonan SMK Sungai Pusu pada Sabtu (5 Nov).
Azwan turut mendakwa menerima panggilan daripada isteri abangnya, Mohamed Azmin Ali, iaitu Shamshidar Taharin pada Jumaat (4 Nov).
“Kami bercakap panjang lebar malam tadi, tapi panggilan itu bukanlah untuk memujuk saya untuk tak bertanding. Jangan salah faham. Kami bercakap mengenai topik lain,” ujarnya.
Sementara itu, Azwan turut menzahirkan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Gombak, Amiruddin Shari.
Beliau turut menafikan penarikan diri berikutan tiada wang pendahuluan, memandangkan calon perlu membayar RM10,000 (S$2,954) untuk bertanding.