Nasionalpilihan

Penggabungan semua lesen motosikal dimuktamadkan hujung tahun ini

Cadangan untuk mengabungkan semua lesen motosikal B1, B2 kepada hanya satu lesen sahaja akan dimuktamadkan hujung tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramlee berkata, kajian mengenai cadangan itu kini di peringkat akhir perbincangan antara Kementerian Pengangkutan dan JPJ.

Menurutnya, selepas perincian dimuktamadkan cadangan itu akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum pengumuman mengenai perkara dibuat tidak lama lagi.

“Kita akan tengok perincian kerana dari segi dasar ia adalah dalam bidang kuasa Kementerian Pengangkutan dan JPJ masih menunggu pembentangan yang akan dibuat nanti.

“Setakat ini pihak kementerian belum umumkan apa-apa belum putuskan apa-apa jadi kami tengah perincikan dulu jika perlu bawa kepada Jemaah Menteri kita akan bawa.

“Kita akan selesaikan dalam tahun ini juga kerana kini semuanya di peringkat akhir dan JPJ menunggu keputusan daripada kajian yang dibuat oleh kementerian,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program MyLesen B2 Peringkat negeri di Dewan Perzim, Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri memberi cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan untuk diteliti terlebih dahulu.

Ahmad Zahid berkata, beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

Aedy Fadly berkata, cadangan penggabungan semua lesen motosikal tersebut tidak perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, bekalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (BOC) di pejabat JPJ seluruh negara adalah mencukupi.

“Saya minta orang ramai tidak perlu risau mengenai bekalan fizikal LKM dan BOC kerana ia adalah mencukupi walaupun ada kerisauan mengatakan bekalan tidak mencukupi,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button