Pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN keputusan tepat
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diberikan semula kepada pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama disifatkan keputusan yang tepat dan wajar.
Lebih menarik pemberian itu diberikan tanpa mengira status ekonomi, bangsa serta agama dan akan diberikan kepada pelajar yang yang menamatkan pengajian bermula tahun 2019.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Mohd. Fuad Tukirin berkata, keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu merupakan tindakan bijak yang sentiasmengutamakan rakyat ketika masyarakat kini berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tenat.
Menurutnya, pengumuman yang dibuat Ismail Sabri sewaktu Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN baru-baru ini sudah tentu melegakan rakyat yang sangat berharap agar kerajaan mendengar keluhan mereka.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bakri berkata, berita baik yang diumumkan Perdana Menteri itu adalah satu langkah drastik ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Keputusan ini juga memberi isyarat yang jelas bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri hari ini adalah kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat.
“Sebarang keputusan yang dibuat oleh Ismail Sabri mesti mengutamakan masalah rakyat sebagai dasar utama yang perlu ditangani dari masa kesemasa dalam membela nasib rakyat yang semakin tertekan dengan kedudukan ekonomi sekarang,” ujarnya.
Menurut Mohd Fuad lagi, rakyat seharusnya berterima kasih dengan usaha kerajaan yang sentiasa mengambil berat serta memahami keluh kesah dan suara mereka diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, sepatutnya rakyat sedar kerajaan yang ada sekarang merupakan kerajaan yang prihatin dan mengutamakan rakyat ketika kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan ekonomi yang terjejas di peringkat global.
Menurutnya lagi, rakyat harus melihat bagaimana usaha PTPTN yang telah membantu lebih 3.67 juta rakyat telah dibantu meneruskan pengajian dengan keseluruhan kos berjumlah RM66.87 bilion.
“Difahamkan ramai yang telah menamatkan pengajian dan memperolehi pekerjaan yang baik justeru saya berharap peminjam dapat membayar balik pinjaman kerana ia amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana dapat membantu pelajar baharu pula.
“Sehingga akhir bulan lalu, lebih 2 juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM 17.8 bilion. Ini sesuatu yang membanggakan kerana ada peminjam yang komited dan bertanggung jawab membuat bayaran balik,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu Mohd. Fuad merayu graduan yang telah menamatkan pengajian dan sudah bekerja khususnya di DUN Bukit Naning agar dapat membayar balik pinjaman agar proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya tidak tertangguh.
Sehubungan itu katanya, rakyat seharusnya terus memberikan sokongan pada kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan melaksanakan tanggung jawab dalam membayar balik pinjaman PTPTN bagi membantu kelangsungan ekonomi negara. – SM