Mahkamah

Pengasuh mengaku tidak bersalah, pukul, cakar bayi 11 bulan

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 27 Mei – Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini
atas pertuduhan memukul dan mencakar seorang bayi berusia 11 bulan, minggu lalu.

Tertuduh, Nabilah Md. Johan, 27, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa
mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, Nabilah dipercayai menganiaya seorang kanak-kanak perempuan di sebuah Taman Asuhan
Kanak-kanak (Taska) dengan mencakar pipi sebelah kiri dan memukul badan mangsa menggunakan tangan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah Taska di Taman Seri Telok Mas, Melaka antara pukul 5.30 hingga 5.45
petang pada 18 Mei lalu.

Perbuatan tersebut terbongkar selepas pengadu iaitu ibu bayi tersebut menonton rakaman kamera litar
tertutup (CCTV) pada keesokan harinya iaitu, 19 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara
10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada petang 18 Mei lalu, pengadu seorang guru bahasa Inggeris ingin mengambil anak
kembarnya di pusat taska tersebut.

Bagaimanapun, pengadu terkejut apabila melihat salah seorang anak kembarnya terdapat kecederaan di lengan,
pipi kiri dan kesan lebam di kepala.

Apabila ditanya mengenai kecederaan itu kepada tertuduh, dia menjawab anak kembarnya itu telah mencakar
diri sendiri sewaktu bangun dari tidur lalu memaklumkan kejadian itu kepada pemilik taska berkenaan.

Pengadu yang tidak puas hati dengan jawapan itu meminta untuk melihat CCTV di taska tersebut dan
dibenarkan untuk melihatnya pada keesokan hari iaitu pada 19 Mei.

Pengadu terkejut apabila melihat tertuduh sewaktu di bilik bayi telah memukul anaknya. Dia dan suaminya
mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kandang pada 20 Mei lalu.

Anak kembarnya kemudian telah dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan
mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada pipi kanan, dahi kanan dan luka calar pada pipi
kiri.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam, Ab Kadir
Ismail.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM 8,000 dengan seorang penjamin dan dilarang
mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikah sebutan semula kes tersebut.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button