Nasional

Jalan baharu Hutan Percha-Tebong beri manfaat 1,200 penduduk

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 27 Mei – Jalan baharu dua lorong menghubungkan Hutan Percha ke Pekan Tebong di Alor Gajah dekat sini
bernilai RM43.55 bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 penduduk di empat buah kampung berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir
negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, jalan sepanjang lima kilometer (km) itu dapat menyediakan akses yang
sempurna dan selamat kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, jalan tersebut juga mampu memendekkan masa perjalanan selain menjadi laluan alternatif
pengguna jalan raya yang ingin ke Gemenceh dan Gemas, Negeri Sembilan; Pekan, Pahang termasuk yang ingin
ke Terengganu.

Beliau berkata, pembinaan jalan tersebut turut memudahkan urusan harian penduduk di sekitar jajaran projek
berkenaan dan membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan kegiatan ekonomi penduduk setempat.

Ujarnya, empat kampung yang mendapat manfaat daripada projek tersebut ialah Kampung Pekan Kuala Sunga,
Perkampungan Pekan Tebong, Kampung Orang Asli dan Kampung Felda Hutan Percha.

“Laluan baharu ini merupakan rangkaian jalan yang selamat dan selesa bagi menghubungkan pengguna
di kawasan sekitar Pekan Tebong dan Pekan Hutan Percha. Terdapat juga kemudahan awam seperti Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) Pekan Tebong.

“Pelaksanaan projek ini juga dapat menyediakan jalan yang lebih selesa bagi penduduk dapat mengeluarkan
hasil pertanian untuk dipasarkan ke bandar yang berdekatan, serta hasil tanaman komersil dan ini secara
tidak langsung meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka.

“Ia juga memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya 1,200 penduduk berhampiran menggunakan
laluan ini bagi menjalankan urusan harian dan jalan perhubungan ke kampung serta institusi yang
berhampiran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan jalan berkenaan hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir.
Ismail Abd. Rahman dan Pengarah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri Sembilan/Melaka, Khairul Nizar Khalid.

Rahmad berkata, jalan tersebut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, Rolling Plan 1 (RMKe-11,
RP1) dan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, projek tersebut yang dibina pada 22 Mac 2018 sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun iaitu pada
22 Mac 2020 namun dilanjutkan dua tahun lagi dan siap sepenuhnya pada 22 Mac lalu.

(Visited 421 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button