Penganjuran Piala Malaysia dibenarkan dengan syarat
PIALA Malaysia dan penganjuran sukan-sukan lain akan dibenarkan secra berperingkat bermula 1 Januari depan kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat syarat utama yang perlu dipatuhi melibatkan kehadiran penonton.
“Bagi negeri yang diarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jumlah kehadiran penonton dihadkan 10 peratus daripada kapasiti tempat duduk atau maksimum 4,000 orang.
“Bagi negeri yang diarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pula, perlawanan adalah tanpa kehadiran penonton,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.
Mengulas mengenai sukan lain pula, jelasnya, sukan dengan penyertaan lebih 500 peserta seperti larian, berbasikal dan maraton tidak dibenarkan.
“Semalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentangkan SOP dan Jawatankuasa Teknikal bersetuju untuk membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi berkuat kuasa 1 Januari ini.
“Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Penganjuran kejohanan tempatan adalah dibenarkan dengan kapasiti penonton 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton.
“Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan melebihi 500 orang pada satu masa seperti acara larian, berbasikal dan maraton adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Tambahnya, di kawasan PKPB, aktiviti sukan dan rekreasi kategori individu serta berpasukan bagi tujuan aktiviti latihan, permainan dan perlawanan sama ada sukan dalaman (indoor) atau di tempat terbuka (outdoor) tanpa penonton adalah dibenarkan. -SM