PENGANJURAN aktiviti seni seperti konsert dan sebagainya memang dibenarkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, industri kreatif dibenarkan melakukan aktiviti tetapi dengan SOP dan berbeza dengan aktiviti sukan yang masih tidak dibenarkan.
“Mereka hanya perlu mengikut SOP yang diputuskan oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“SOP yang diarahkan adalah sangat ketat iaitu tidak boleh ada penonton, wajib memakai pelitup muka, tidak melibatkan warga asing, jumlah kru produksi yang minima.
“Malah, setiap penganjuran aktiviti seni juga akan dipantau oleh wakil MKN dan Polis Diraja Malaysya (PDRM) dan jika perlanggaran SOP berlaku, tindakan akan terus diambil,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.
Menurut Ismail Sabri, berkenaan dengan aduan masyarakat di laman sosial berkaita pengajuran ABPBH, dia menyerahkan perkara tersebut kepada KKMM.
“Saya percaya, Menteri Komunikasi dan Multimedia tentu tahu berkenaan perkara ini dan saya serahkan kepada pihaknya untuk berbincang dengan MKN jika berlaku sebarang perubahan,” ujarnya.
Ismail Sabri mengulas mengenai pertikaian netizen berkenaan kebenaran penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang disiarkan secara langsung pada esok.
Terdapat juga netizen yang membandingkan mengenai pembatalan semua acara sukan termasuk Piala Malaysia berbanding aktiviti seni yang mendapat kebenaran.
Berkenaan isu sukan, Ismail Sabri memberitahu yang semua aktiviti sukan memang dilarang sejak pelaksanaan PKPB.
“Sukan berada di bawah senarai terlarang kerana agak sukar untuk kita kawal mereka seperti pemain bola sepak terutamanya melibatkan sentuhan di tengah padang.
“Malah, pemain juga perlu merentas negeri bagi setiap perlawanan dan begitu juga dengan SOP di bilik persalinan yang sukar dikawal,” jelasnya. -SM