Rencana

Ditangkap kerana disyaki ahli kumpulan pengganas

AKHIRNYA saya merasa memakai gelang besi, iaitu gari polis. Bagi yang belum rasa memakai gelang besi, mari saya cerita sedikit rasanya.

Rasanya sangat tidak selesa, setiap kali kita menggerakkan tangan gelang besi itu akan mengetat dengan sendiri. Akhirnya tangan saya luka dan berdarah. Puncanya kerana saya disyaki ahli kumpulan pengganas.

Kisahnya bermula 2 Julai 2000, ketika itu saya bertugas sebagai wartawan di biro Perak dan baru pulang dari Ayer Tawar, kerana membuat liputan berita.

Sesampai pejabat di Ipoh saya mendapat maklumat ada 100 senjata mesingan M16 hilang.

“Ini kes besar, sebelum ini selaras M16 hilang pun sudah kecoh, inikan 100 laras,” kata saya kepada rakan sepejabat Taufek Razak.

Selepas itu saya bergegas ke Gerik terletak di hulu Perak yang menjadi lokasi kejadian tersebut, mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan memandu kereta.

Saya tiba di Kem Banding Askar Wataniah di Banding, tetapi tidak dibenarkan masuk dan berpatah balik ke Kem Askar Wataniah di Gerik, ini adalah kerana pegawai memerintahnya saya kenal agak akrab dan tidak lama sebelum itu saya pernah membuat liputan anggotanya membuat persiapan sambutan Aidilfitri untuk ruangan perajurit.

Saya sampai ke pos pengawal memaklumkan mahu berjumpa dengan pegawai memerintah, tetapi tidak dibenarkan dan ini meningkatkan lagi rasa syak.

Kemudian saya singgah ke restoran bagi mengisi perut yang lapar dan di sana saya terserempak beberapa orang wartawan lain yang telah menghidu kejadian itu.

Selepas mengumpul maklumat yang agak cukup, saya menghubungi ibu pejabat di Kuala Lumpur bagi memaklumkan kejadian tersebut dan telefon telah diangkat oleh Datuk Zaini Hassan yang kemudiannya mengarahkan saya supaya kekal di sana dan melaporkan terus perkembangan.

Akhirnya saya berjumpa pegawai memerintah kem Gerik yang juga sahabat saya yang tercegat di pintu kem. Ketika saya bergerak menghampiri beliau seorang anggota Polis Tentera telah menghalang saya.

Pegawai berkenaan telah menjerit, “Aku tak mahu lihat muka kau,” dengan penuh kemarahan sehingga terangkat kakinya seolah-olah mahu menendang saya.

Berang dengan situasi itu saya balas balik, “Ok tak mengapa aku duduk di sebalik pokok.” Lagilah dia berang dan mengarahkan anggota Polis Tentera mengusir saya. Saya difahamkan beliau diarahkan meletakkan jawatan ekoran kejadian itu. Saya pun turut bersimpati kerana bukan salah beliau, tetapi sebagai orang atasan, beliau perlu bertanggungjawab.

Saya pun berlalu kerana tidak mahu timbul masalah dengan pihak berkuasa. Ketika saya bertikam lidah, jurugambar telah berjaya merakam gambar dan itu memang sebahagian perancangan kami untuk mengalihkan padangan pihak berkuasa.

Masalahnya kini saya datang hanya sehelai sepinggang dan tidak bersedia. Saya mendapat maklumat sekumpulan kumpulan pengganas yang diketuai oleh anggota tentera yang mempunyai parut di muka telah menyerbu Kem Banding dan merampas alat komunikasi tentera dan di Kem Gerik mereka merampas pelbagai senjata. Mereka kini telah berkubu di Bukit Jenalik, Sauk, Kuala Kangsar.

Selepas menghantar berita saya mencari pakaian dan tempat penginapan. Oleh kerana hendak berjimat saya hanya membeli baju T Pagoda kerana ia murah dan sepasang selipar supaya lebih selesa berbanding memakai pakaian kerja.

Ketika itu kebimbangan semakin memuncak kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengadakan mesyuarat kabinet pertama kali di Perak.

Cakap-cakap menyatakan kumpulan pengganas itu mahu menyerang anggota kabinet yang berkumpul di Perak.

Masuk beberapa hari kami wartawan belum mengetahui apa nama kumpulan pengganas yang berkubu di atas bukit itu.

Jumlah wartawan yang berkumpul di Pekan Kati mulai ramai dari pelbagai akhbar tempatan dan dari luar negara.

Ketika berbual-bual dengan pemberi maklumat saya dimaklumkan polis melakukan serbuan ke Kampung Bendang Uji tidak jauh dari Pekan Kati.

Saya bersama jurugambar bergegas ke tempat serbuan. Saya lihat sepasukan polis sedang sibuk melakukan siasatan di sebuah rumah. Bagi mengelakkan daripada disyaki saya singgah dahulu di sebuah kedai makan di kampung itu.

Saya minta jurugambar tunggu dahulu, kerana jika kami berdua masuk bersama kamera ia menjadi sangat ketara. Saya pun menyusup dan mendapatkan maklumat rumah bersebelahan.

Ketika bertanya dengan penduduk setempat tiba-tiba salah seorang penduduk terpaku dengan tangannya penuh dengan nasi, saya fikir sedang makan nasi agaknya, jadi dia agak terkejut kerana kehadiran wartawan. Yang akhirnya saya dimaklumkan dia adalah anggota polis dari Balai Polis Lenggong. Sudahlah tidak pernah melihat wartawan, sekali suspek pengganas muncul di depan rumah beliau.

Tiba-tiba dia menjerit tangkap! Sekelip mata anggota polis tidak berpakaian seragam telah mengepung saya. Ada yang memegang beg sandang saya, ada yang memegang baju dan ada yang memegang seluar.

Salah seorang mereka menjerit ‘gari! gari! lantas saya telah digari dengan tangan dikilas ke belakang. Itulah pengalaman pertama kali saya memakai gelang besi. Saya cuba melawan dan memberitahu saya wartawan, tetapi datang seorang anggota Senoi Praq yang memberitahu saya supaya bertenang.

“Tenang dik, tenang. Di kampung saya dipanggil Pak Long, tenang dik tenang dik, katanya. “Eh tanya pun tak boleh,” balas saya. Selepas itu saya diperosok ke dalam kereta Perodua Kembara dengan dihimpit di kiri serta kanan anggota Senoi Praq bersenjata M16 di tempat belakang.

Senoi Praq pun satu hal kerana mereka terkenal dengan ketegasan dan patuh arahan orang atasan. Walaupun di dalam hati saya mencarut pelbagai, tetapi saya mengawal perasaan supaya tidak menjadi mangsa dan teruk dibelasah.

Sudahlah sempit ditekan pula kepala supaya menunduk. Saya sempat menjerit meminta jurugambar Hanafi Khamis supaya mengambil gambar, tetapi kamera beliau telah dirampas. Saya juga sempat terdengar orang kampung di kedai makan tadi bercakap, “Eh tak sangka wartawan tu ahli kumpulan pengganas”.

Saya dibawa ke Balai Kati, ketika melalui pintu masuk ke balai saya cuba menjerit ke arah wartawan yang ramai di situ, tetapi tidak berdaya kerana kepala saya ditekan dengan kuat.

Tiba di dalam balai saya terus disuruh duduk dan digari ke kerusi. Selepas itu sekumpulan anggota polis tidak berpakaian seragam memulakan soal siasat selepas membaca kepada saya, saya ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan. Saya lega kerana paling lama saya boleh ditahan adalah seminggu. Kalau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) habislah saya hilang dua bulan tanpa diketahui oleh ahli keluarga dan rakan-rakan.

Bagi mereka yang belum pernah melalui pengalaman disoal siasat saya cerita sedikit. Kaedahnya sama sebiji macam kita tengok di dalam filem dan drama. Saya dikelilingi anggota polis dan salah seorang mengaku dia berasal dari kampung saya dan rumahnya terletak berhampiran masjid.

Dalam hati saya rasa nak menangis dan ketawa bercampur baur apabila mendengarnya. Ciss mana masjid tak ada rumah. Klise betul. Dia menyuruh saya mengaku ahli kumpulan pengganas dan mendedahkan nama kumpulan itu.

Saya beritahu saya tidak tahu, kalau tahu saya sudah siarkan di Utusan Malaysia. Seorang lagi bertanyakan di mana serban saya dan saya jawab seluar dalam tidak basuh adalah di dalam beg sandang saya.

Ketika ini baharu saya sedar dengan jambang tidak dicukur, memakai baju T Pagoda dan hanya berselipar, siapa yang akan percaya saya adalah wartawan.

Saya beritahu kepada mereka supaya mengambil kad wartawan saya dan hubungi pejabat saya di pejabat. Selepas beberapa jam disoal siasat mereka akhirnya menghubungi pejabat dan kebetulan ketua biro Nazri Hashim mengangkat panggilan itu.

Nazri mengesahkan memang ada wartawan Utusan Malaysia bernama Borhan Abu Samah.

Tetapi polis belum juga berpuas hati. Hinggalah seorang pegawai polis dari Bukit Aman yang saya kenali lalu berhampiran saya, dan saya menjerit memanggil namanya. Dia terkejut dan setelah lama menenung mungkin kerana sudah lama tidak bertemu dan akhirnya dia bertanya apa yang saya buat di situ.

Saya beritahu saya ditangkap kerana disyaki ahli kumpulan pengganas. Dia meminta saya dilepaskan kerana memang dia kenal dan tahu saya memang suka menyusup ketika membuat liputan. Barulah gelang besi saya dibuka. Seorang anggota polis bertanya saya mahukan air sejuk atau air panas.

Ketika itu saya mula besar kepala dan berani sedikit, saya jawab, “Bagi air sejuk, hati aku panas.”

Selepas itu mereka menunjukkan gambar lakaran wajah anggota kumpulan pengganas berkenaan yang seiras wajah saya. Saya sebenarnya telah diikut oleh anggota polis sejak awal lagi.

Ketika saya ditangkap sebenarnya ia satu serbuan dan jika saya melawan saya akan ditembak.

Puncanya kerana saya menaiki kenderaan syarikat jenis Pajero yang memang kenderaan jenis itu digunakan oleh kumpulan pengganas itu. Pajero itu pula dibuang lambang syarikat kerana telah diserang para penunjuk perasaan reformasi di Kuala Lumpur sehingga pecah cermin dibaling batu.

Pemandu syarikat pula memakai kupiah putih dan berjanggut. Sejak hari itu pemandu berkenaan tidak lagi memakai kupiah putih, mungkin kerana fobia.

Pada sidang akhbar lewat petang polis pandai memutar kes saya ditangkap dan saya dimaklumkan ketua polis negara berkata saya ditangkap kerana memasuki kawasan larangan.

Akhirnya ahli kumpulan itu dikenal pasti sebagai Al-Maunah bersama ketua mereka Mohamad Amin telah menyerah kepada anggota keselamatan. Seorang mati ditembak dan seorang lagi cedera ditembak. Yang cedera itulah wajahnya mirip saya. Mohamad Amin bersama dua yang lain dihukum gantung kerana menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, manakala yang lain ada yang masih dipenjara seumur hidup dan ada yang telah mendapat pengampuan Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Maka lekatlah panggilan saya sebagai Wartawan Maunah dalam kalangan rakan-rakan, bos dan polis. Walaupun rasa tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pengiktirafan daripada kerja keras itu, tetapi gelaran itu sahaja sudah membuatkan saya terus bersemangat. Ia ibarat anggota tentera yang diberi kenaikan pangkat di lapangan.

Pengajarannya sebagai wartawan dan orang awam kita harus memahami lunas undang-undang supaya kita tidak mudah gelabah dan memahami hak kita. Kalau hendak rasa pakai gelang besi bolehlah cuba. Jadi setiap kali kita melihat tahanan digari, kita akan tahu rasanya.

 

 

 

 

(Visited 475 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button