PENDEKATAN pengajaran yang kreatif, ceria serta perasaan penuh gembira dapat menarik minat pelajar untuk kekal dalam momentum yang optimum.
Selain itu, penerapan elemen kasih sayang dan beradab tinggi dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan semangat dan motivasi para pelajar di semua peringkat pembelajaran.
Demikian menurut kenyataan media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini yang dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengetuai lawatan khas ke Kompleks Kementerian Pendidikan Ethiopia di Addis Ababa baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh dua Timbalan Menteri Pendidikan Ethiopia iaitu Dr. Samuel Kifle dan Dr. Fanta Mandefro.
Pada kunjungan berkenaan, Baginda Berdua disembahmaklum mengenai usaha Kerajaan Ethiopia dalam melaksanakan transformasi pendidikan dengan mempertingkatkan teknologi dalam mengurangkan permasalahan yang dihadapi dalam sektor pendidikan.
Hal ini dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam mempertingkat peratus membaca serta melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam pertemuan tersebut juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi Mufti Perlis, Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkongsi pengalaman mengenai usaha Perlis sebagai sebuah ‘Negeri Ilmu’ melalui pendekatan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak sama ada di dalam atau luar negara.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs bertitah, model kerjasama antara MAIPs dan Ethiopian Islamic Affairs Supreme Council (EIASC) melalui perjanjian hasrat persefahaman yang ditandatangani boleh dikembangkan untuk diterapkan dengan pelbagai institusi dan agensi pendidikan di Malaysia dan Ethiopia.
Terdahulu, Baginda berdua turut mengadakan lawatan ke Sekolah Merwa Academy, di bandaraya Addis Ababa, iaitu sebuah sekolah rendah yang memberikan fokus kepada sikap dan konsep pembelajaran praktikal, selain turut singgah di Addis Ababa University (AAU) yang ditubuhkan pada tahun 1950 dan merupakan universiti tertua dan terbesar di sana.
MAIPs dalam kerangka memanfaatkan keupayaan yang ada padanya agar dapat dikongsi oleh masyarakat Islam di tempat lain, cuba mencari langkah yang membolehkan masyarakat di sana melihat ruang kelebihan yang ada pada MAIPs untuk dimanfaatkan oleh mereka.
Untuk rekod, MAIPs mempunyai pengalaman kolaborasi bersama Muhammadiyah Indonesia dalam menubuhkan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Padang Besar, Perlis selain mempunyai hubungan rapat dengan pihak 6 Majlis Agama di Wilayah persisiran Laut Andaman, Thailand.
MAIPs juga pernah menyumbangkan sebuah Kompleks pendidikan yang dijadikan Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah, Mujamma’ Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di Fatoni University (FTU), Thailand. – SM