Negeri

Pendidikan teras pembangunan holistik – Raja Muda Perlis

BATU BERTANGKUP 16 Feb. – Pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan diri, agama, bangsa, negeri dan juga negara. Dalam era yang serba mencabar ini, generasi muda memerlukan bimbingan, motivasi, serta sokongan untuk terus melangkah maju ke hadapan.

Bantuan Persekolahan bagi tahun 2025 berjumlah RM9,065,700 hasil sumbangan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 5,073 orang pelajar Sekolah Menengah, 38 orang pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat, 7,802 orang pelajar Sekolah Rendah dan 38 orang pelajar Sekolah Rendah Agama Rakyat yang setiap pelajar terpilih ini menerima RM700 baru-baru ini bukan sekadar untuk memenuhi keperluan material semata-mata, bahkan juga sebagai satu ‘simbol’ sokongan kita semua kepada usaha mereka yakni anak-anak pelajar sekalian untuk mencapai kejayaan yang berpanjangan khususnya menjelang musim persekolahan baru yang akan bermula secara rasminya pada isnin ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Husna Batu Bertangkup, Jalan Kilang Gula Chuping.

Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus komited dalam membantu golongan asnaf dengan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penerima yang terpilih mengikut kariah masing-masing. Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban mereka dalam memenuhi keperluan harian.

Usaha ini juga mencerminkan komitmen MAIPs dalam memperkasakan golongan asnaf, bukan sahaja dari aspek kewangan tetapi juga dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka secara holistik.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan untuk menyampaikan sumbangan daripada MAIPs itu kepada 75 orang anak kariah Batu Bertangkup, 75 orang anak kariah Felda Chuping, 75 orang anak kariah Bukit Keteri dan 75 orang lagi dari anak kariah Kok Klang.

Setiap asnaf terpilih menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 dengan jumlah penuh sumbangan diagihkan oleh MAIPs pada kali ini adalah sebanyak RM210,000.

Selain menerima bantuan kewangan, para asnaf turut berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri, mengikuti ceramah kesedaran mengenai bahaya najis dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis, dan juga SWCorp Negeri Perlis serta mendengar perkongsian inspirasi melalui ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ anjuran MAIPs.

GALERI FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button