
Pendidik, kakitangan SAR dirai MAIPs sempena Syawal
KANGAR 9 April – Golongan pendidik dan kakitangan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Perlis menerima penghargaan istimewa sempena Syawal daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu majlis simbolik ringkas baru-baru ini.
Berangkat menyempurnakan penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri berkenaan adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs.
Demikian menurut kenyataan MAIPs.
Setiap guru SAR menerima bantuan tunai sebanyak RM500, manakala kakitangan sokongan pula menerima RM300 daripada MAIPs.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Cikgu Rose Aza Che Ariffin, serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin, yang bersama menyantuni para penerima dalam suasana penuh penghargaan dan kebersamaan.
Tambah kenyataan tersebut, sumbangan ini bukan sekadar bantuan bagi menyambut perayaan, tetapi juga dorongan untuk meningkatkan semangat dan motivasi warga pendidik dalam terus memartabatkan pendidikan Islam serta memperkukuh tadbir urus sekolah-sekolah secara holistik.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menegaskan bahawa MAIPs amat menghargai peranan besar para guru dalam pembangunan insan dan berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai galakan meneruskan kecemerlangan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan khas kepada Cikgu Mohd Yazam Mohd Said yang menamatkan perkhidmatannya secara rasmi di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis pada 27 Mac 2025 yang lalu selepas berkhidmat sejak tahun 2022 sebagai Penyelaras Guru Muraqib Amil.
Salah seorang penerima, Aswadi Abdullah, Guru Besar Sekolah Rendah At-Tarbiah Al-Islamiah (SRAATI), melahirkan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh MAIPs.
“Sumbangan ini benar-benar memberi makna besar kepada kami warga pendidik. Ia memberi suntikan semangat untuk terus berbakti dalam mendidik anak bangsa,” katanya.
Selain itu, turut disampaikan bantuan kepada golongan muallaf yang berada di bawah pemantauan JAIPs sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap proses pemerkasaan saudara baharu.
Pengarah JAIPs dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada MAIPs atas usaha menyantuni golongan asnaf muallaf secara konsisten dan berterusan.
FOTO