Pendaftaran pengundi 18 tahun dijangka selesai Julai 2021
PENDAFTARAN pengundi berumur 18 tahun dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai 2021.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pendaftaran tersebut akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah segala persiapan diselesaikan.
Antaranya termasuk penyediaan pindaan kepada Peraturan-peratiran Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2020 dan undang-undang berkaitan penyediaan sistem dan infrastuktur.
Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata demikian, ketika mengulas maklumat tular di media sosial yang mengajak rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi.
“Suruhanjaya Pilihan Raya ingin menegaskan bahawa pendaftaran pengundi 18 tahun belum dilaksanakan,” kata Azhar.
Menurut beliau, SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini menegenai perkara tersebut.
Beliau menyeru orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu kepada SPR melalui laman sesawang dan Facebook rasmi SPR.-SM