Nasional

Penanam durian Musang King tiada hak di sisi undang2 fail permohonan

SEMUA 110 penanam durian Musang King di Raub tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau locus standi untuk memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang supaya mereka mengosongkan kebun.

Peguam Kanan Pesekutuan Noor Fadzila Ishak yang mewakili enam responden yang dinamakan dalam permohonan itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuantan bahawa penanam terlibat tidak diberikan sebarang hak atau lesen pendudukan sementara (TOL).

Mereka juga tidak mempunyai hak milik terhadap tanah yang telah diusahakan dengan tanaman tersebut.

Memetik laporan BERNAMA, Noor Fadzila berkata, itu menjadikan status mereka sebagai penceroboh atau setinggan.

Pemohon juga katanya, tersilap apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis yang dikeluarkan pentadbir tanah.

“Pemohon seharusnya memfailkan notis rayuan kerana notis bukanlah suatu yang disyaratkan undang-undang untuk dikeluarkan tetapi sebagai makluman kepada pemohon atau orang yang terlibat apabila ada kesalahan dilakukan yang mana dalam kes ini berlaku pencerobohan terhadap tanah kerajaan.

“Kerajaan negeri mengeluarkan notis yang memberikan peluang lebih kurang sebulan untuk pemohon mengosongkan tanah walaupun sebagai pemilik, mereka boleh terus masuk dan membuat execution,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz.

Noor Fadzila berkata jika pemohon terkesan dengan notis penggosongan itu di bawah Seksyen 418 Kanun Tanah Negara 1965, mereka boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan pentadbir tanah Raub dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh notis diserahkan kepada mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata mahkamah tidak perlu memberikan kebenaran kepada pemohon kerana permohonan itu tidak mempunyai asas, sia-sia dan menyalahguna proses mahkamah.

Sementara itu, peguam Siew Choon Jern berkata status pemohon sebagai setinggan perlu dihujahkan semasa perbicaraan penuh  dan bukannya pada peringkat permohonan kebenaran yang sedang berlangsung.

“Pada peringkat ini kami telah menunjukkan beberapa merit supaya mahkamah dapat memberi kebenaran tersebut kerana memberikan kebenaran tidak bermakna anak guam kami telah menang. Kami perlu mengemukakan segala alasan kami untuk pertimbangan hakim,” katanya.

Zainal Azman menetapkan 9 Dis ini untuk keputusan terhadap permohonan itu dan membenarkan perintah penggantungan terhadap notis penggosongan yang sepatutnya berakhir hari ini, disambung sehingga tarikh sama.

Siew juga memaklumkan mahkamah bahawa salah seorang pemohon daripada 111 penanam kumpulan pertama yang memfailkan permohonan itu telah memutuskan untuk tidak meneruskan permohonan  tersebut.

Penanam durian terlibat memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button