Politik

Pemuda UMNO selar penyiaran ‘Man On The Run’

PERGERAKAN Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penyiaran dokumentari berjudul ‘Man on the Run’ yang kini sedang ditayangkan di saluran Netflix.

Ketua Pergerakannya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setelah menontonnya Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan dokumentari itu dilihat berat sebelah dan lebih bersifat propaganda berbanding mengupas isu dengan profesional serta beretika.

Menurutnya, Pemuda UMNO melihat isi kandungan dan kupasan menerusi wawancara yang dibuat terhadap beberapa pihak telah menyatakan pelbagai perkara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Isi kandungan antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah sekaligus melanggar nilai kebebasan bersuara yang diberikan.

“Malah, ada kandungan yang bersifat melampau seperti mengaitkan Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya dan Kelvin Morais.

“Penyiaran kandungan ini adalah merupakan suatu bentuk ‘trial by media’ tatkala Najib masih berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah dan ini mempunyai niat jahat untuk membentuk persepsi yang negatif ke atas beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Akmal berkata, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak di dalam dokumentari ini juga merupakan suatu penghinaan kepada prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

Katanya, ini merupakan suatu isu yang perlu dipandang secara serius oleh semua pihak.

Sehubungan itu katanya, Pemuda UMNO Malaysia menggesa Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengambil tindakan segera mengarahkan Netflix untuk mengeluarkan dokumentari terbabit secepat mungkin.

“Hakikatnya, setiap individu dilindungi oleh undang-undang dan selagi mana seseorang itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah, adalah salah untuk pihak-pihak menjustifikasikan individu tersebut bersalah,” katanya.

Jelasnya, Pemuda UMNO sentiasa memegang teguh prinsip integriti dan hak demokrasi.

“Maka atas prinsip inilah, Pemuda UMNO menyeru agar semua pihak dapat menghormati dan memelihara setiap kepentingan individu, sepertimana yang telah dimaktubkan di dalam nas perundangan negara” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button