Pemuda Umno Kelantan tawar peguam kepada peniaga burger
Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menawarkan bantuan guaman kepada seorang peniaga burger di negeri itu yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, barisan Peguam Pemuda Umno Negeri Kelantan akan meneliti kes saman tersebut bagi pihak peniaga bernama Wan Mohd. Faizal Wan Kadir.
Menurut beliau, barisan peguam berkenaan akan diketuai oleh Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli.
“Terpanggil dengan keluhan anak muda yang gigih mencari pendapatan serba kekurangan di musim PKP ini, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan bersedia memberi bantuan guaman kepada beliau bagi berhadapan dengan saman ini.
“Ini sejajar dengan khidmat bakti Pemuda UMNO yang sentiasa berkhidmat untuk kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemuda Umno Kelantan katanya, berpendapat bahawa saman tersebut tidak sepatutnya dikenakan dan perlu diberi pertimbangan secara waras oleh pihak berkuasa.
Ini kerana kebanyakan rakyat seperti Wan Mohd. Faizal tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mereka baharu sahaja kembali mendapatkan rentak pencarian ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik bahaya ini.
“Atas alasan apa pun yang diberikan sepatutnya faktor timbang rasa perlu ada sebelum mengeluarkan sesuatu saman. Apatah lagi alasan lebih masa ini tidak pun menjadi asbab utama penularan virus memandangkan tidak ada pelanggan pun yang menunggu berasak².
“Pemuda Umno Kelantan memohon agar pihak kerajaan pusat dan negeri melihat balik SOP bagi kes-kes yang melibatkan peniaga bulan Ramadhan yang semestinya berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sesuap nasi demi survival hidup keluarga.
“Kami patuh dengan kehendak undang-undang namun sedikit pengecualian mungkin boleh dibuat bagi melegakan para peniaga yang kais pagi makan pagi,” tegasnya.
Seorang peniaga burger di Kota Bharu, Kelantan mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.
Wan Mohd Faisal, 38, yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang memaklumkan dia didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam.
Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketika itu tiada seorang pelanggan di kedainya dan dia sedang menyiapkan tempahan daripada pekerja kilang.-SM