Pemimpin masyarakat perlu cakna isu kesihatan – Raja Muda Perlis
Setiap peringkat kepimpinan masyarakat setempat di negeri ini wajar secara berterusan mengambil cakna pemerkasaan kesihatan dan kebajikan ahli komuniti masing-masing dalam menghadapi pandemik Covid-19.
Gerakkanlah aktiviti penyelarasan kawalan dan pencegahan dalam komuniti mengikut kemampuan, keperluan dan kesesuaian kawasan tanggungjawab masing-masing.
Dari masa kesemasa juga berikanlah motivasi dan bimbingan kepada ahli-ahli supaya lokaliti masing-masing akan dapat terus kekal ‘Hijau’ yakni tiada kes.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat singgah bagi menerima taklimat pembangunan projek Klinik Kesihatan Pauh, Arau yang sedang dalam pembinaan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir Syed Zubir Syed Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor sempena program ‘MAIPs Peduli’ bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat dan Bersih’.
Tuanku Raja Muda turut mengingatkan semua, jika perlu dilaksanakan kembali ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ di negeri ini, ramai rakyat yang akan kembali terkesan teruk terutamanya golongan yang kurang mampu.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim menekankan bahawa, ‘Jika tindakan pencegahan tidak dilakukan secara lebih agresif dan saling ingat memperingatkan oleh sesama rakyat Perlis sendiri, risiko penularan wabak Covid-19 di negeri ini adalah sangat tinggi kerana rakyat Perlis adalah sangat rapat dan saling berinteraksi antara satu sama lain. Malah perjalanan menaiki kereta dari Padang Besar di utara sekali untuk ke Kuala Sanglang di kawasan paling selatan hanya mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja’.
Nasihat beliau, ‘Laporkanlah kepada pihak berkuasa sekiranya ada aktiviti berkumpulan yang meragukan. Had dan rekodkan pergerakan keluar masuk pelawat dan penduduk setempat. Jika ada kes disyakki COVID-19, segera laporkan kepada pihak berkuasa’.