Politik

Pemilihan Bersatu Sabah: Hajiji antara ketua bahagian menang tanpa bertanding

KOTA KINABALU, 29 Jan — Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Tuaran apabila tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup pada Ahad lalu.

Sesi pencalonan untuk pemilihan parti pada Ahad lalu menyaksikan tiada individu lain yang mengemukakan borang untuk mencabar Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman.

Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian Bersatu Ranau.

Turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian ialah Setiausaha Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Beluran), Ketua Penerangan Bersatu Negeri, Khairul Firdaus Akbar Khan (Libaran) dan Bendahari Bersatu Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis).

Empat belas lagi Ketua Bahagian lain juga memang tanpa bertanding ialah Datuk Rahim Bakri (Kudat), Datuk Wetron Bahanda (Kota Marudu), Datuk Japlin Akim (Kota Belud), Encik Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Yusof Hamdan Diego (Kota Kinabalu), Senator Datuk John Ambrose (Penampang).

Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Isnin Alisnih (Beaufort), Matbali Musah (Sipitang), Datuk Rubin Balang (Tenom), Azman Ruslan (Keningau), Senator Datuk Abdul Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan) dan Aksyah Nasrah (Kinabatangan).

Manakala enam lagi bahagian lain kebanyakannya menyaksikan pertandingan dua penjuru, kecuali Bahagian Putatan.

Ronald yang juga Setiausaha Bersatu Sabah berkata, semua 25 bahagian di negeri ini layak mengemuka pencalonan bagi pemilihan yang diadakan buat pertama kalinya.

Katanya, Ketua Srikandi (KS) Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun bersama 20 lagi KS mengekalkan jawatan mereka apabila turut tidak dicabar.

Mesyuarat Bersatu peringkat cawangan akan dimulakan pada 15 Februari sehingga 29 Mac dan mesyuarat peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April, manakala Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pula pada 25 hingga 28 Jun depan.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button