Mahkamah

Pembantu rumah warga Indonesia dipenjara lima tahun

Cederakan anak majikan berumur setahun

MAHKAMAH Sesyen Klang hari ini memerintahkan pembantu rumah warga Indonesia, Eli Limayati menjalani hukuman penjara lima tahun selepas dia mengaku bersalah mencederakan anak majikannya berumur 12 bulan pada 29 Julai lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan Eli, 21, menjalani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM40,000 selain melakukan aktiviti khidmat masyarakat selama 180 jam secara agregat  dalam tempoh enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Eli Limayati didakwa mendedahkan bayi itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal iaitu melecur akibat air panas di Taman Klang Perdana, Kapar, Selangor pada kira-kira pukul 6.30 petang.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Eli kemudiannya merayu kepada mahkamah supaya meringankan hukuman ke atasnya kerana dia perlu menanggung seorang anak dan ibu bapa yang sakit di Indonesia.

Pada 29 Julai lepas, BERNAMA melaporkan polis menahan seorang pembantu rumah kerana disyaki mendera seorang bayi perempuan berusia setahun.

Siasatan mendapati mangsa melecur di belakang badan, punggung dan peha akibat terkena air panas, disyaki ketika sedang dimandikan oleh pembantu rumah berkenaan di bilik air. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button