Nasionalpilihan

Pemangku Raja Perlis rasmi Hub Komuniti @ PTSFP UniMAP

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Hub Komuniti @ Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di He & She Cafe, Kampus Alam, Pauh Putra, Arau.

Keberangkatan tiba Baginda merangkap Canselor bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr. Ir Ts Zaliman Sauli.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Shaiful Rizal Abd Ghani dan Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri Perlis, Mohd Zulhimi Rosli.

Tuanku Syed Faizuddin Putra melihat pelajar mewarna lukisan selepas merasmikan Hub Komuniti @ Perpustakaan PTSFP UniMAP di He & She Cafe, Kampus Alam, Pauh Putra, Arau.

Sempena majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, gunakan sumber ilmu yang ada sebaiknya dan hanya

perpustakaan mampu menyediakan bahan bacaan dan sumber ilmu yang tidak terkira banyaknya.

“Jadi adalah menjadi satu kerugian jika kita tidak menggunakannya untuk menambah ilmu di dada kita,” titah Baginda.

Saran Baginda, ajaklah ahli keluarga dan sahabat handai untuk mengunjungi hub komuniti yang terdekat kerana negara memerlukan komuniti yang celik dan cakna dengan ilmu pengetahuan yang terkini agar tidak ketinggalan di belakang orang lain.

Baginda bertitah, dengan penggunaan pelantar media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan juga Twitter yang meluas ini perlu diambil kesempatan untuk berkongsi tentang kebaikan dan manfaat yang boleh didapati di hub komuniti.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen melihat pelajar mewarna lukisan selepas perasmian Hub Komuniti @ Perpustakaan PTSFP UniMAP di He & She Cafe, Kampus Alam, Pauh Putra, Arau.

“Secara tidak langsung, masyarakat sekeliling juga akan memperoleh faedah daripada penggunaan hub komuniti ini,” titah Pemangku Raja lagi.

Zaliman dalam ucapan terdahulu itu berkata, perasmian Hub Komuniti @ PTSFP adalah  salah satu inisiatif berimpak dalam memperkasa strategi libat sama dan pembangunan komuniti.

“Melalui deklarasi inisiatif Hub Komuniti, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra komited untuk merangka, melaksana dan meluaskan impak sumber maklumat, fasiliti, perkhidmatan dan kepakaran untuk kesejahteraan komuniti,” katanya.

Di majlis yang sama Baginda berdua berkenan menyaksikan penyampaian surat tawaran perkhidmatan negeri disampaikan oleh Syaiful Rizal mewakili  Yayasan Bank Rakyat kepada 10 buah keluarga anak-anak autisme.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bermesra dengan seorang kanak-kanak sambil diperhati Tuanku Hajah Lailatul Shahreen pada pelancaran Hub Komuniti @ Perpustakaan PTSFP UniMAP di He & She Cafe, Kampus Alam, Pauh Putra, Arau.

Baginda berdua turut melawat pameran dan program Hub Komuniti berupa 3D design melibatkan 15 pelajar sekolah, ‘panorama view’ dengan 14 pelajar terbabit serta menyantuni anak-anak autisme yang hadir.

Untuk rekod, PTSFP menawarkan akses kepada jutaan teks penuh e-jurnal, e-buku dan lebih 100,000 objek digital bahan pembelajaran dan penyelidikan yang dihasilkan oleh warga UniMAP.

Sumber ini boleh diakses di pelantar Hub Komuniti@ PTSFP di aras satu bangunan berkenaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button