KemalanganNasionalUncategorized

Pemandu rentung kemalangan di Lebuhraya Guthrie

SEORANG pemandu kereta jenis Mazda berwarna merah ditemukan rentung dipercayai selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar di sebelah kiri penghadang jalan di Kilometer 3.6 Lebuhraya Guthrie dari Shah Alam sebelum tol Bukit Jelutong, awal pagi tadi.

Ketua Polis Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang identitinya belum dapat dikenal pasti itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana turut terbakar bersama kenderaan dipandu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, kes kemalangan maut itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iqbal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Muhammad Hanif Sukri di talian 014 8066744 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazan Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.15 pagi dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

Katanya, setibanya di tempat kejadian pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Mazda yang tidak diketahui nombor pendaftaran terbakar 100% akibat kemalangan.

“Terdapat seorang mangsa ditemukan rentung di dalam kereta tersebut dan mayat yang tidak diketahui identiti serta jantina itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button