Pemandu Perodua Axia berusia 25 tahun yang menyebabkan kematian dua pelajar tingkatan empat di Jalan Krubong, Permai pada malam Ahad didakwa berada di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan kira-kira pukul 9.10 malam itu menyebabkan dua remaja menunggang motosikal iaitu pembonceng Erwan Idris, 16, maut di tempat kejadian manakala Putra Norsyaqir Putrawirawan, 16, meninggal dunia di Hospital Melaka.
Abang ipar Erwan, Mohd. Faizal Ab. Ghani, 38, berkata, sewaktu tiba di tempat kejadian lebih kurang pukul 9.30 malam mendapati pemandu yang bekerja di pasar borong itu mabuk dan bukannya terlelap sewaktu berlaku kemalangan tersebut.
“Saya ada bukti rakaman papan pemuka (dashcam), foto dan dua saksi kejadian melihat di dalam kereta Perodua Axia mempunyai beberapa tin minuman keras.
“Pemandu itu telah membuang tin-tin minuman namun beberapa penduduk dan orang ramai ternampak perbuatan itu lalu mengambil semula tin-tin tersebut.
“Selain itu dua saksi di tempat kejadian telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah mengenai penemuan minuman keras dalam kereta pemandu terbabit,” ujarnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong, petang semalam.
Akhbar melaporkan siasatan awal mendapati Perodua Axia dipandu pekerja pasar borong berusia 25 tahun dalam perjalanan dari arah lampu isyarat One Krubong menghala ke Taman Krubong Permai.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kereta Perodua Axia itu didapati memasuki ke laluan bertentangan akibat terlelap dan melanggar motosikal dinaiki dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang datang dari arah bertentangan hingga terperosok di bawah kereta berkenaan.
Sehubungan itu Mohd Faizal berkata, ahli keluarga adik iparnya menuntut pemandu terbabit dikenakan hukuman yang setimpal kerana kecuaiannya menyebabkan dua nyawa
hilang.
“Kalau pemandu itu tak mabuk tak mungkin berlaku kemalangan hingga menyebabkan kematian ke atas adik ipar saya dan rakannya,” katanya.
Sementara itu bapa mangsa, Idris Kamaruddin, 59, berkata, dia amat terkejut kehilangan anak bongsu daripada empat beradik itu sekelip mata.
“Saya diberitahu menantu serta penduduk di situ, pemandu tu mabuk hingga langgar motosikal dinaiki anak saya dan meninggal dunia dalam keadaan yang menyedihkan dan saya nak pemandu itu dihukum setimpalnya,” katanya.
Katanya, sejak seminggu lalu arwah nampak berubah sewaktu sebelum kejadian apabila dia membuat kerja sambilan memasak dengan sebuah katering di Bukit Rambai memakai kaca mata hitam.
“Saya diberitahu kawannya yang bekerja di katering yang sama, Erwan lebih banyak mendiamkan diri dan tidak seperti biasa,” ujarnya.
Begitupun katanya, dia reda dengan pemergian anak bongsunya itu walaupun seperti tidak percaya Erwan pergi untuk selama-lamanya.
Terdahulu jenazah Allahyarham yang tiba dari Hospital Melaka telah disembahyangkan di Masjid An Nur Kampung Krubong sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong dekat sini kira-kira pukul 5.10 petang semalam. – SM
Artikel berkaitan > Penalti lebih berat diperlukan terhadap pemandu mabuk