Pemandu mabuk terus ‘mengganas’, dua lagi maut kena langgar
DUA sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21, dan rakannya Muhammad Amin Najmi Azaman,19, yang berasal daripada Paya Keladi Hujung, Kepala Batas, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Motosikal yang dinaiki dua sahabat itu dilanggar dari belakang oleh wanita yang memandu kereta Toyota Vios itu menyebabkan mereka terpelanting beberapa meter …mayat dua lelaki itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat,” katanya di Butterworth, hari ini.
Noorzainy berkata siasatan awal mendapati wanita berumur 47 tahun yang bekerja sebagai jurujual itu dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kepala Batas dan mengaku baru balik berhibur daripada sebuah pusat karaoke di Jalan Raja Uda di sini.
“Ujian awal mendapati jurujual itu memandu di bawah pengaruh alkohol namun ujian air kencing mendapati dia negatif dadah,” katanya dan menurutnya wanita itu kini direman untuk siasatan.
Noorzainy meminta kerjasama orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung perlanggaran itu menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Syafinaz Abdul Aziz di talian 018-2881424 atau balai polis berdekatan.- BERNAMA