Nasional

Pemandu lawan arus ragut dua nyawa

DUA penunggang motosikal maut manakala seorang lagi penunggang cedera parah selepas mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Jalan Thean Teik, Air Itam Pulau Pinang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata seorang wanita berusia 41 tahun dan seorang lelaki berumur 58 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, dalam kejadian kira-kira pukul 8.00 malam itu.

“Seorang lagi penunggang motosikal berusia 21 tahun cedera parah, dan berdasarkan maklumat awal, nahas berlaku berhampiran lampu isyarat, apabila pemandu kereta Proton Wira itu keluar dari satu simpang di kawasan berkenaan.

“Sebaik keluar dari simpang itu, kereta itu telah masuk ke laluan yang salah iaitu melawan arus sebelum merempuh empat buah motosikal dan beberapa buah kenderaan yang berada di laluan berkenaan,” katanya di sini malam ini.

Katanya nahas itu menyebabkan dua penunggang motosikal maut dan seorang lagi penunggang cedera parah manakala pemandu kereta berusia 20-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Soffian berkata mayat lelaki dan wanita yang meninggal dunia itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat manakala lelaki yang cedera parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Polis masih menunggu laporan ujian alkohol dan air kencing pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button