Pemandu bas maut langgar belakang lori treler
Seorang pemandu selepas bas pesiaran yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 220.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara awal pagi tadi.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu menyebabkan pemandu bas dikenali sebagai Zulkarnain Jalil, 41, dari Bemban meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt. Arshad Abu berkata, tujuh daripada 30 penumpang bas berkenaan cedera dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Rembau.
Menurutnya, dua penumpang berada di zon merah dan zon kuning Hospital Tuanku Jaafar manakala lima lagi di Hospital Rembau di mana empat mendapat rawatan di zon kuning dan seorang di zon hijau.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lori treler dengan muatan pasir kaca datang dari Kota Tinggi Johor hendak ke Senawang.
“Bas ekspres terbabit pula dari Stesen Larkin Johor Bahru hendak ke Terminal Bas Selatan (TBS) dengan membawa seramai 30 penumpang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas yang tiba di lokasi kejadian telah melanggar belakang lori treler yang sedang dipandu di lorong pertama,” katanya di sini hari ini.
Arshad berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu bas berkenaan tersepit di tempat pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, beberapa penumpang lain yang tidak mengalami sebarang kecederaan pula meneruskan perjalanan ke TBS apabila syarikat terbabit menyediakan bas lain.
“Kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan tersebut telah dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan meminta saksi untuk tampil membantu siasatan. – SM