Sukan

Pelumba Petronas Yamaha SRT tunjuk keputusan positif pada sesi latihan GP Sepanyol

PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo meneruskan permulaan yang positif selepas menamatkan sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Sepanyol di Litar Jerez semalam pada kedudukan yang memberangsangkan.

Morbidelli yang baru-baru ini menyambung kontraknya dua tahun lagi iaitu sehingga 2022 mencatatkan masa 1 minit 38.15 saat (s) untuk berada di tempat ke-12 manakala Quartararo berada di tempat ke-15 (1:38.152s).

“Ini hari yang bagus untuk kami. Kami konsisten pagi ini dan kami agak pantas pada sebelah petang. Saya gembira dengan prestasi keseluruhan yang kami tunjukkan hari ini,” kata Morbidelli dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan itu.

Katanya lagi, mereka perlu siapkan semua dan keutamaan esok ialah untuk terus layak ke Q2 sebelum memikirkan mengenai tayar mana akan digunakan untuk perlumbaan.

“Perlumbaan tahun lepas di sini baik untuk kami dan dengan prestasi yang ditunjukkan setakat ini, saya yakin untuk sesi kelayakan esok,” kata pelumba dari Itali yang berusia 25 tahun itu.

Sementara itu, Quartararo mendedahkan yang beliau bergelut dengan jenteranya tetapi berjaya mengatasi masalah jentera untuk memperbaiki catatan masa pada sesi petang.

“Kami ke sini dengan motosikal baharu berbanding tahun lepas, tiada sesi ujian pada awal musim dan sebab itulah saya bergelut pada pagi ini.

“Kami perlu lakukan satu demi satu dalam melakukan pembaikan tetapi tidak sabar menanti hari esok di mana kami boleh membaiki catatan masa sebelum sesi kelayakan dan saya rasa amat yakin,” kata pelumba berusia 21 tahun itu.

GP Sepanyol akan diteruskan dengan dua lagi sesi latihan dan diikuti dengan sesi kelayakan pada Sabtu (18 Julai) dan perlumbaan sebenar pada Ahad, 19 Julai. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button