Pelumba muda Australia buat kejutan, tewaskan pakar pecut untuk raih kemenangan peringkat kedua 2020 LTdL
Pelumba muda Australia Taj Jones dari pasukan Ara Pro Cycling Sunshine Coast menewaskan beberapa pelumba pilihan dalam kelompok pecut untuk memenangi peringkat kedua lumba basikal Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) dari Dataran Batu Buruk ke Bandar Baru Kerteh, Terengganu semalam.
Pelumba berumur 19 tahun menewaskan lain-lain jaguh pecut seperti pemenang peringkat awal 2020 LTdL, pelumba Jerman, Maximilian Richard Walscheid dari NTT Pro Cycling Team, dan pelumba Itali Riccardo Minali, Matteo Pelucchi serta Luca Pacioni, untuk memenangi perlumbaan 261.1km, laluan paling jauh dalam kejohanan ini.
Ketua hakim memberikan masa yang sama 4 jam 5 minit dan 29 saat kepada kelompok 10 pelumba yang melintasi garis penamat secara berkumpulan.
Kemenangan hari ini melonjakkan Jones daripada kedudukan di tempat ke-11 kepada tempat ketiga, daripada keseluruhan 123 pelumba.
“Ini adalah laluan perlumbaan paling jauh yang saya tempuhi setakat ini, dan saya amat bangga dengan kejayaan rakan sepasukan hari ini.
“Ia saingan yang amat sengit di penghujung perlumbaan, laluannya kebanyakannya cukup rata, saya sukakannya. Strategi perlumbaan hari ini adalah untuk berada dalam kelompok ramai, sebelum membuat serangan ke arah garis penamat, dan akhirnya kami berjaya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas perlumbaan.
Sementara itu pemenang jersi kuning, Yevgeniy Fedorov dari pasukan Vino-Astana Motors, berkata beliau sedang bersiap sedia untuk kayuhan yang sukar dalam perlumbaan peringkat ketiga esok, yang menampilkan beberapa zon mendaki.
“Esok menjanjikan saingan yang sengit, kerana saya adalah pelumba pecut, namun saya harap rakan sepasukan saya boleh mengekalkan jersi kuning untuk pasukan kami, saya percaya mereka boleh melakukannya,” katanya menerusi seorang penterjemah.
Peringkat ketiga esok manyaksikan laluan sejauh 162.5km dari Dataran Temerloh ke KLCC, dengan tiga zon pecut di Mentakab, Desa Bakti dan Mempaga, selain tiga zon pendakian di Bukit Damar, Bentong dan Genting Highlands.
— BERNAMA