Pelumba cilik Maleeq Dragster, dari Tokyo ke dunia, Malaysia diangkat tinggi
PELUMBA cilik Wan Ayden Maleeq Wan Muhd. Muzri, yang lebih dikenali sebagai Maleeq Dragster, mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai juara terbanyak kejohanan pushbike kanak-kanak di luar negara dalam tempoh setahun.
Maleeq, 5 tahun, mencatat rekod luar biasa dengan memenangi 14 kejuaraan antarabangsa, termasuk gelaran Juara Dunia Kategori Lima Tahun di RCS Championship, Tokyo, Jepun.
Bapanya, Datuk Seri Wan Muhd. Muzri, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti potensi sukan pushbike dalam membentuk semangat juang generasi muda.
“Sebagai ibu bapa, kami amat bangga dengan Maleeq. Kejayaannya memberi inspirasi kepada adik-beradik serta rakan-rakan seperjuangan untuk terus berdaya saing. Kami berharap ini menjadi langkah awal untuk melahirkan seorang atlet negara yang cemerlang pada masa hadapan,” katanya.
Selain mencipta sejarah, Maleeq turut mengharumkan nama Malaysia dengan mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut di Jepun serta meraih kemenangan di Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong, dan Singapura.
Di peringkat tempatan, pelumba muda ini memenangi pelbagai kejohanan termasuk M8 Malaysia International Pushbike GP Series 2 2024 Langkawi, M8 Malaysia International Pushbike GP Series 4 2024 Petronas, dan M8 Magnificent Race 2024.
Ibunya, Datin Seri Nursyafira Mohd. Zain, berkongsi bahawa semangat juang Maleeq tetap tinggi meskipun pernah mengalami kecederaan.
“Maleeq memang anak yang bersemangat kental. Kakak dan abangnya, Mikael serta Mikayla, juga menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap perlumbaan walaupun pernah cedera. Kami menyediakan jurulatih dan pusat latihan sendiri untuk mereka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, keluarga memastikan keseimbangan antara latihan dan pelajaran dengan mengadakan latihan hanya pada waktu malam, sementara perlumbaan dijadualkan pada hujung minggu.
Maleeq kini bersiap sedia untuk kembali ke Jepun pada Januari depan bagi menyertai Run Bike Series (RCS) bersama abang, kakaknya, dan tujuh pelumba lain dari The M8 Cycling Club.
Menurut Wan Muhd. Muzri, saingan kali ini dijangka mencabar, namun beliau yakin dengan persediaan rapi pasukan Malaysia.
Melangkah ke masa hadapan, Maleeq bercita-cita untuk meneruskan langkah sebagai pelumba sukan permotoran Mini GP melalui kerjasama antara M8 Malaysia dan ZK Racing.
“Program ini memberikan peluang kepada kanak-kanak berbakat untuk melangkah lebih jauh, sekali gus membina keyakinan diri dan kemahiran sosial mereka,” tambah Wan Muhd. Muzri.
Kejayaan Maleeq bukan sahaja mencipta sejarah, malah membuka jalan untuk sukan pushbike di Malaysia mendapat perhatian lebih meluas, menjadikan negara ini setanding di peringkat dunia.