Pelbagai aktiviti di Perlis bagi memastikan kelestarian alam sekitar
Antara cabaran utama dalam mengurus alam sekitar adalah berkaitan penggunaan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar atau angin.
Program kitar semula, inisiatif hijau, pemulihan sumber dan pembangunan lestari; Kesemua ini menuntut kerjasama semua pihak termasuk kerajaan dalam misi menjayakannya dengan slogan ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’.
Sebagai tanda kebersamaan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertemakan “Land Restoration, Desertification and Drought Resilience” kali ini pelbagai aktiviti boleh dilakukan di negeri Perlis termasuklah pembersihan pantai dan kawasan sekitar, gotong royong, ceramah, pameran, penanaman pokok, program kitar semula dan sebagainya. Semua usaha murni ini akan memberi impak positif kepada alam sekitar.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs yang dilangsungkan di Masjid Al-Masyhoor Padang Siding, Arau.
Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan untuk menyalurkan sumbangan secara tunai kepada golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini bagi menampung keperluan harian mereka.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs telah berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs itu kepada 70 orang penerima dari kalangan Anak Kariah Guring dan 70 orang lagi dari kalangan Anak Kariah Ulu Pauh.
Asnaf yang terpilih menerima bantuan wang tunai RM 700, saringan kesihatan secara percuma dari Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan ceramah daripada pihak MAIPs bertemakan ‘Bangun Jiwa Asnaf’ yang bertujuan untuk membakar semangat asnaf untuk bekerja keras dan keluar dari kepompong kemiskinan.
Tambah istimewa topik kali ini disekalikan dengan peringatan ‘Hari Alam Sekitar Sedunia’ yang diraikan pada setiap 5 Jun yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan isu-isu alam sekitar. Ia menuntut semua pihak yang terdiri daripada pelbagai peringkat sama ada individu, komuniti, pihak kerajaan, swasta, industri, institusi dan NGO untuk memainkan peranan dalam melindungi dan memelihara alam sekitar untuk manfaat generasi akan datang.
Untuk rekod, Isu berkaitan alam sekitar disentuh dan dibincang buat kali pertama pada tahun 1972 melalui Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Stockholm, Sweden seterusnya menjadikan tarikh 5 Jun sebagai memperingatinya dengan cara mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar secara global.