Pelantikan Amir Hamzah Azizan beri kesan positif pasaran kewangan
Amir Hamzah Azizan dilanik sebagai Menteri Kewangan Kedua hari ini
PELANTIKAN CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Amir Hamzah Azizan sebagai menteri kewangan kedua akan memberi kesan positif terhadap pasaran kewangan dan modal berikutan pengalaman serta pengetahuan dimilikinya dalam dunia kewangan, kata pakar.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat, Afzanizam Abdul Rashid berkata, Amir akan dapat menunjukkan komitmen kukuh untuk mengurangkan defisit fiskal Putrajaya dan mengekalkan tahap hutangnya pada trajektori yang mampan.
“Ini akan menjadi kunci kerana beliau juga memahami kesan (dasar kerajaan) yang mungkin ada pada pasaran bon dan ekuiti,” kata Afzanizam sambil menambah, pelabur akan bertindak balas secara positif terhadap pelantikan Amir.
Amir yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pagi tadi adalah CEO Tenaga Nasional Bhd sebelum dilantik ke KWSP pada Mac 2021.
Profesor ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata, pelantikan Amir adalah langkah sangat baik kerana dia bukan ahli politik.
“Beliau bukan ahli politik dan akan memberi tumpuan kepada butiran dasar, pengurusan fiskal dan tadbir urus yang baik. Inilah yang kita perlukan sekarang,” katanya.
Williams berkata, ini akan merangsang keyakinan pelabur kerana CEO KWSP disegani dalam komuniti pelaburan sebagai ketua pelabur terbesar dalam pasaran Malaysia.
“Beliau juga telah menerajui perubahan ketara dalam perkhidmatan yang ditawarkan di KWSP,” katanya sambil memetik lanjutan perlindungan KWSP kepada suri rumah dan pekerja ekonomi gig serta penubuhan akaun KWSP ketiga yang baharu, antara lain.
“Kami berharap pelantikannya juga memberi tumpuan kepada krisis pencen,” katanya.
Afzanizam berkata, pengalaman Amir di KWSP bermakna beliau akan memahami nasib rakyat dari segi kos sara hidup dan simpanan untuk persaraan.
Bagaimana pun, Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Oh Ei Sun cuba mengetepikan pelantikan Amir dengan berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan tetap mengambil tindakan apabila ia melibatkan dasar dan pembaharuan.
“Saya tidak nampak beliau melancarkan dasar atau pembaharuan baharu. Tetapi sekurang-kurangnya, apabila beban Anwar menjadi ringan, pasaran secara amnya akan bertindak balas dengan agak positif terhadap pelantikannya.
“Dari segi itu, ia bagus. Tetapi jika anda melihat pembaharuan, ia sangat awal ketika ini,” ujar beliau.
Amir sebelum ini antara lainnya, berkhidmat sebagai CEO MISC Bhd, Petronas Dagangan Bhd dan cabang hospitaliti Khazanah Nasional, Themed Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd.
Dalam rombakan Jemaah Menteri hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan melantik anak Lim Kit Siang, Lim Hui Ying sebagai timbalan menteri kewangan bagi menggantikan Ahmad Maslan yang dilantik semula sebagai timbalan menteri kerja raya yang baharu. – SM
BACA Pasaran kewangan domestik kekal teratur – Bank Negara
BACA Prestasi kewangan APB berdaya tahan di sebalik turun naik pasaran