PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya golongan pelajar hendaklah sentiasa menguatkan tekad masing-masing dalam menuntut ilmu.
Baginda bertitah, pada masa yang sama cungkillah potensi diri sendiri melalui pelbagai kemahiran yang ada dengan bimbingan guru-guru di sekolah.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan agihan bantuan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 140 orang asnaf terpilih di Masjid Jamek Beseri baru-baru ini.
Para penerima adalah dalam kalangan asnaf terpilih dari kariah Beseri dan juga Batu Hampar.
Setiap seorang menerima RM700 secara tunai daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.
Pemangku Raja bertitah, terdapat banyak aktiviti yang baik boleh golongan pelajar laksanakan untuk membina keperibadian supaya berani untuk ke hadapan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut yakin dengan gabungan ilmu yang diajar di dalam kelas dan aktiviti mengasah bakat-bakat pelajar di luar kelas akan dapat menghasilkan pelajar negeri Perlis yang mampu bersaing khususnya di era yang semakin mencabar ini. – SM