Kemalanganpilihan

Pelajar maut diseret lori

Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah di sini menemui ajal selepas diseret sejauh 100 meter oleh sebuah lori dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 219, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) (arah utara) berhampiran Alor Gajah, Melaka awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Nor Shah Asrap Reduan, 16, dari Pokok Mangga, Melaka mengalami kecederaan pada seluruh
anggota badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan dua buah lori berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha sedang dalam perjalanan ke rumah abangnya di Bangi, Selangor.

Katanya, setiba di lokasi motosikal mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah lori dari arah sama yang membawa muatan plastik ke Pulau Pinang.

“Semakan polis mendapati, mangsa tidak memiliki lesen memandu. Ketika kejadian mangsa dan abangnya yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan menuju ke Bangi.

“Mangsa kemudian terjatuh di lorong paling kiri sebelum datang sebuah lagi lori membawa muatan botol plastik yang gagal mengelak, lalu melanggar dan menyeret remaja itu sejauh kira-kira 100
meter.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah seluruh anggota badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Arshad, saringan air kencing terhadap kedua-dua pemandu lori didapati negatif dadah manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Katanya, terdapat kesan calar dan darah atas permukaan jalan. Keadaan cuaca semasa kejadian adalah baik dan didapati kawasan gelap tanpa lampu jalan.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button