Biasanya, pelajar-pelajar cemerlang dibawa berjalan-jalan oleh pihak sekolah sebagai usaha menghargai kejayaan mereka, di samping mempelajari sesuatu yang baharu.
Tetapi lain pula kisahnya di sebuah sekolah di Pulau Pinang apabila pelajar-pelajar bermasalah disiplin dibawa mengikuti ‘lawatan sambil belajar’ ke sebuah ibu pejabat operasi syarikat penerbangan tambang murah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang memuji langkah tersebut kerana ia dianggap sebagai suatu pendekatan ‘Thinking Outside the Box’ atau berfikir di luar kotak bagi menangani isu disiplin dalam kalangan pelajar sekolah.
“Cabaran dalam pendidikan menuntut para guru berfikir di luar kotak atau keluar daripada kebiasaan.
“Akibat daripada pendekatan itu, saya mendapat maklumat, keadaan bertambah baik dan semua pelajarnya komited hendak datang ke sekolah, sehingga hari cuti pun mereka kalau boleh nak datang sekolah,” katanya.
Maszlee berkata demikian ketika berucap merasmikan program Best of the Best Showcase & Symposium anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Sentul, baru-baru ini.
Beliau berkata, lawatan sambil belajar ke lapangan terbang itu telah mendedahkan para-pelajar terbabit tentang kepentingan disiplin, menepati masa dan bersikap lebih positif dalam sebarang situasi yang dihadapi dalam kehidupan.
Katanya, bukan sahaja para pelajar begitu seronok bertemu pramugara dan pramugari, malahan guru-guru juga telah mendapat pengalaman baharu dalam lawatan tersebut.
“Pendidikan tidak harus disempitkan kepada ruang lingkup bilik darjah semata-mata, tetapi perlu diperluaskan kepada segenap kehidupan dan melibatkan seluruh masyarakat,” jelasnya.
Justeru, menurutnya, penglibatan komuniti terutamanya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak swasta amat diperlukan untuk membangunkan prestasi para pelajar sekolah.
Oleh Sahbulah Mohamad Darwi