Nasional

Pekebun perlu akur tanah diduduki secara haram

PEKEBUN yang mengusahakan tanaman Durian Musang King di Raub, Pahang perlu akur dengan tindakan menduduki tanah di sana secara haram.

Justeru, mereka perlu akur dengan arahan Kerajaan Negeri dan patuh kepada undang-undang dengan mengosongkan tanah di kawasan terbabit.

Oleh demikian, tindakan mereka membantah tindakan Kerajaan Negeri Pahang adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

“Pekebun terlibat sewajarnya menjadi warga yang patuh kepada undang-undang dengan mengosongkan tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini.

“Kerajaan negeri berharap mendapat kerjasama daripada pihak terlibat.

“Kerajaan negeri juga mengulangi pendirian akan terus bertegas tanpa kompromi dalam isu tanah yang diusahakan secara haram oleh pekebun terbabit.”

Demikian kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataannya hari ini.

Terdahulu, pekebun membantah tindakan kerajaan negeri berhubung pengosongan tanah di Raub susulan dakwaan mengatakan mereka sudah lebih 30 tahun mengusahakannya.

WAN ROSDY WAN ISMAIL

Malah terdapat dakwaan mengatakan pekebun di sana turut mendapat pinjaman bank bagi membantu usaha tanaman durian.

Malah, penggunaan istilah ‘pencerobohan haram’ juga dipertikai sesetengah pihak apabila bank meluluskan pinjaman kepada pekebun di sana.

Oleh demikian, pada 28 Ogos, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz membenarkan permohonan pekebun mendapatkan perintah penggantungan sementara terhadap notis pengosongan.

Notis pengosongan tersebut dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.

Dalam pada itu Wan Rosdy menambah, kerajaan negeri buat masa ini terpaksa menangguhkan sementara tindakan penguatkuasaan notis pengosongan terhadap pekebun terbabit.

Penggantungan itu dibuat sehingga permohonan 111 pekebun bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Oktober ini.

Terdahulu, kerajaan negeri memaklumkan mengalami kerugian akibat daripada pencerobohan haram beberapa kawasan di Raub bagi tanaman durian.

Selain itu, isu pencemaran air berkaitan dengan usaha pertanian itu juga dibangkitkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button