Alam SekitarNegeriTravel

Pastikan kemudahan awam di Perlis sentiasa bersih, selamat, cantik – Raja Muda

SEMPENA Kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025, semua kemudahan awam yang disediakan baik oleh pihak kerajaan mahupun swasta dan juga persendirian di negeri ini hendaklah sentiasa diberi perhatian khusus serta berada dalam keadaan selamat, bersih, teratur dan cantik oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atasnya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni salah seorang asnaf yang menerima sumbangan MAIPs di sekitar Chuping.

Antara yang dimaksudkan ialah tempat makan, tandas, kawasan berehat, ruang solat, aktiviti untuk kanak-kanak, perkhidmatan untuk Orang Kurang Upaya (OKU), kawasan parkir, pengurusan sampah, perparitan dan sebagainya.

Ia juga wajar untuk ditambah baik dari masa ke semasa untuk memberikan keselesaan kepada semua.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-5 bagi tahun 2024 yang telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Chuping, Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni dan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada salah seorang asnaf pada program Peduli MAIPs di sekitar Chuping.

Program kayuhan sambil menyantuni dan memberi bantuan kepada tiga asnaf terpilih ini merupakan aktiviti rutin Tuanku Syed Faizuddin Putra yang turut melibatkan kehadiran ketua-ketua agensi dan swasta di negeri ini.

Baginda merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyampaikan bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah kepada Zulkifli Ahazai, 57 dari Kampung Panggas Kecil, Sa’adin Sanapi, 78 dari Panggas Besar dan Azemi Abdullah, 58 dari kampung yang sama.

Di akhir program Raja Muda berkenan singgah melawat kawasan ‘Bukit Keteri West Climbing’ yang merupakan salah satu tumpuan peminat sukan ‘rock climbing’ dari seluruh pelosok dunia dan bertaraf antarabangsa.

Menurut Zainol Din dan Muhammad Amirul Baharti daripada komuniti Perlis Climbers yang menyambut keberangkatan Baginda, terdapat 63 laluan bagi pendakian di bukit ini yang terdiri daripada pelbagai tahap kesukaran paling mudah sehingga ke paling sukar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar bersama peserta kayuhan MAIPs Peduli semasa singgah di salah sebuah lokasi di sekitar Chuping.

Bukit ini ialah salah satu tumpuan sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. dan ia telah digazetkan sebagai GeoTapak Bukit Keteri. – SM

BACA Raja Muda Perlis lancar Program Pengindahan dan Kempen Rakyat Perlis Hidup Bersih

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button