Pasarkan Harumanis secara dalam talian – Raja Muda Perlis
DALAM menghadapi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, corak perniagaan mesti berubah. Cara bisnes sekarang tidak lagi boleh ‘As Usual’.
Perniagaan biasa yang melibatkan premis fizikal dan operasi penjualan mungkin ada yang terpaksa dikecilkan. Walaubagaimanapun, perniagaan atas talian pula kian meningkat dan berkembang dengan pesat sekali.
Justeru, para usahawan Harumanis Perlis yang belum bergerak ke arah itu perlu lebih proaktif dan segera mengambil sikap mahu berubah dengan mengapplikasikan teknologi dalam perniagaan dan pemasaran mereka sempena musim Harumanis Perlis yang baru sahaja kembali bermula sekarang, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada asalnya dijadualkan berangkat melancarkan ‘Majlis Perasmian Karnival Promosi Harumanis Perlis Tahun 2020’ bertempat di AEON Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri pada hari semalam, isnin 6 April 2020. Namun, majlis tersebut terpaksa dibatalkan bagi mematuhi arahan PKP.
Tambah Tuanku Raja Muda Perlis lagi, para pengusaha harus mengambil peluang keemasan ini untuk membuka ‘kedai maya’ samada secara sendiri, bersama kumpulan atau melalui platform yang disediakan agensi kerajaan seperti portal Agrobazaar Online milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia yang diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Difahamkan bahawa pihak FAMA bukan sahaja membuka kedai maya, malah turut melatih serta membantu para pengusaha dan usahawan untuk memasarkan mangga Harumanis Perlis khasnya dan produk hiliran lain amnya secara lebih cekap dan berkesan di peringkat domestik dan global.
- Hargai petugas barisan hadapan dengan sebenarnya – Raja Muda Perlis
- Tangani COVID-19 dengan pendekatan luar biasa – Raja Muda Perlis
Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan para pengusaha hendaklah menjaga kualiti dan piawaian Harumanis Perlis dari segi penjagaan dan pengurusan ladang, penjadualan, penuaian, penggredan, pembungkusan serta pelabelan supaya pengguna dan ejen pemasar menerima produk yang berkualiti setanding dengan harganya yang premium.
Tambah baginda lagi, para pengusaha dan usahawan Harumanis Perlis perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing di dalam pemasaran. Aspek penjenamaan produk dan ‘positioning’ juga perlu diperkasakan.
Tuanku Raja Muda Perlis turut menekankan agar aspek promosi dan pengiklanan ke atas Harumanis Perlis perlu dilipatgandakan pada setiap minit. Para pengusaha dan usahawan juga perlu mengambil peluang ini untuk sentiasa mengiklankan Harumanis Perlis dan produk mereka secara berkala disamping menyediakan kandungan yang menarik dan informatif agar dapat dikongsi dengan mudah dan cepat.
Tambah baginda lagi, pengusaha dan usahawan hendaklah mengambil iktibar daripada krisis Covid-19 yang dihadapi dan ianya menuntut kepada perubahan sebenar dalam aspek ekonomi, persekitaran, perundangan, teknologi, politik dan sosial.
Baginda juga turut bersyukur kerana para pengusaha dan usahawan kita yang terlibat di dalam sektor pertanian dan makanan ini terus diberi peluang untuk meneruskan perniagaan dan pengedaran bekalan makanan walapun pelbagai langkah sekatan lain yang telah diperkenalkan sepanjang wabak Covid-19, termasuklah menutup premis perniagaan, penangguhan kemasukan pelancong dan sebagainya. – SM