Sepasang suami isteri yang merupakan dua ahli sindiket curi susu formula dijatuhi hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.
Mereka dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah mencuri 20
kotak susu bernilai lebih RM6,000 di sebuah pasar raya di sini Februari lalu.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh Mohd. Azlee Ibrahim, 39, dan Noor Bayah Ab Manaf, 31 membuat
pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa
mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didapati
dengan niat curang telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL
Step 1, 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2, 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.
Kesalahan itu dilakukan di Pasar Raya AEON Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, di sini antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam pada 13 Februari lalu.
Difahamkan, tertuduh juga mempunyai rekod kes sama dan bergerak aktif di beberapa negeri dengan menjual susu berkenaan kepada pelanggannya.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit
kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin dalam hujahannya memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat kesalahan dilakukan bukan atas desakan kesempitan hidup, sebaliknya menjadi kebiasaan pasangan itu.
Menurutnya, modus operandi kedua-dua tertuduh adalah menjual susu
formula yang dicuri itu kepada pihak ketiga yang turut membuat pengakuan bersalah dalam pertuduhan sebelum ini membeli susu berkenaan daripada tertuduh.
Tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malik dalam rayuannya
bagaimanapun merayu hukuman penjara dijalankan dari tarikh ditangkap
selain perlu menyara empat anak dan Noor Bayah kini sedang mengandung
tiga bulan.
Mahkamah kemudian mengarahkan setiap tertuduh dipenjara 12 bulan dari tarikh ditangkap pada 16 Februari lalu. – SM