KemalanganNasional

Pasangan sehidup semati, ajal bersama nahas motosikal

PASANGAN yang berjanji sehidup semati setelah keduanya menemui ajal bersama apabila maut dalam satu kemalangan di Kilometer 7.6 Jalan Kangar – Padang Besar pada pukul 3.45 petang semalam.

Allahyarham Haida Sofina Ahmad Safri, 28, dan suaminya, Mohd Nazri Khalid, 32, yang berasal dari Pulau Langkawi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori yang membuat pusingan U dari arah bertentangan.

Kemalangan maut melibatkan pasangan suami isteri di KM7.6 Jalan Kangar – Padang Besar petang semalam.

Suara Merdeka difahamkan Allahyarham Haida adalah guru prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Perlis yang baharu bertugas di negeri ini.

Pasangan yang berasal dari Langkawi ini dikatakan mendirikan rumahtangga pada Disember 2021 dan masih belum menimang cahaya mata.

Menurut ayah Allahyarham Haida, Ahmad Safri dalam Facebook (FB), jenazah anak dan menantunya disembahyangkan di masjid Temonyong, Langkawi dan dikebumikan di tanah perkuburan masjid berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati pemandu lori berkenaan yang dari arah Padang Besar ke Kangar telah membuat pusingan U untuk menghala balik ke Padang Besar.

“Kedua mangsa yang menaiki motosikal dari arah Kangar tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, mayat kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk bedah siasat.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati pemandu lori berkenaan juga tidak mempunyai lesen memandu.

“Setakat ini pemandu berusia 67 tahun itu tidak ditahan kerana faktor umur serta mempunyai masalah kesihatan dan pendengaran,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian di mana membawa hukuman penjara minimun dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM20,000 jika disabitkan kesalahan. – SM

BACA Pasangan suami isteri didakwa bunuh pelayan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button