Politik

Pas kaji cadangan UMNO, nasib MN diputuskan sebelum hujung minggu

SYARAT UMNO supaya tinggal Bersatu jika mahu menghidupakan semula Muafakat Nasional (MN) akan dikaji secara mendalam oleh Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu akan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudhorat (risiko) yang lebih ringan.

“Pas menyambut baik kenyataan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) semalam yang menzahirkan keterbukaan UMNO dan PAS memulihkan agenda penyatuan ummah berikutan pertemuan empat mata dua Presiden UMNO dan PAS pada 17 September lalu.

“PAS mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal ‘perdamaian’ di antara orang-orang Islam yang bertelagah dalam sesuatu urusan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Takiyuddin, Pas turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber Agama Islam iaitu Al-Quran dan Al-Hadith.
“Sesungguhnya perkara di atas juga terkandung secara jelas dan tersurat di dalam Piagam MN yang sudah dimeterai pada 14 September 2019,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid melalui kenyataan memaklumkan UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi teras MN dan asas kepada kestabilan politik tanah air.
Ahmad Zahid menegaskan sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama perlulah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan di antara parti utama Melayu dan Islam di negara ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button