Para graduan diseru untuk terus berusaha mencari ilmu
Bergraduasi bukanlah bermakna berakhirnya misi pencarian ilmu. Usaha menuntut ilmu perlu diteruskan, samada secara formal mahupun tidak formal. Menuntut ilmu itu, tiada akhiran dan batasannya, malahan merupakan proses sepanjang hayat. Sehubungan itu, para graduan diseru untuk terus berusaha mencari ilmu bagi memperkayakan lagi pengetahuan dan jadikan budaya menuntut ilmu ini subur dalam diri masing-masing.
Selain itu, bergraduasi juga bukan bermaksud hubungan antara bekas pelajar dengan institusi pendidikan berakhir. Graduan masih boleh menyumbang kepada institusi pendidikan melalui persatuan alumni.
Para graduan juga boleh berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya sebagai panduan dan inspirasi kepada pelajar lain.
Demikian titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Konvokesyen kali ke-14 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis di Dewan Harumanis PTSS Pauh Putra pada pagi tadi.
Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Zubaidah Aman dan Pengarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Abdul Malek Hassan.
Tambah Tuanku Syed Sirajuddin, ‘Dalam bidang kerjaya khususnya, alumni berperanan memberi khidmat mentoring tentang peluang pekerjaan di dalam industri dan membuka laluan bagi pelajar untuk menjalani latihan praktikal atau menimba pengalaman bekerja di dalam organisasi di mana alumni berada. Justeru itu, sebagai alumni PTSS, tanamkanlah niat dan azam untuk menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung kepada PTSS dengan cara dan skala yang pelbagai’.
Tuanku Raja turut menitahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah buat para graduan, ibu bapa dan waris serta para pendidik di PTSS atas kejayaan di majlis konvokesyen tersebut. Semoga pengalaman di PTSS ini akan menjadi kenangan terindah dalam hidup para graduan, yang pastinya akan dirindui suatu hari nanti.
Graduan Diploma Pengurusan Acara, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman adalah penerima Anugerah DiRaja dan turut menerima RM2,000 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di majlis tersebut.
Untuk rekod, majlis konvokesyen kali ini menyaksikan PTSS berbangga melahirkan graduan yang tamat pengajian bermula dari sesi Disember 2018 sehingga sesi Disember 2020.