Acara

Panglima Tentera Darat mengadap Raja Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima mengadap Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan di Kangar.

Turut hadir sama adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Haji Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS), Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Panglima-Panglima ini berada di Perlis bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) Ke-66 Peringkat Kebangsaan yang bermula pada 28 dan berakhir 30 Jun 2024 di negeri Perlis.

Tuanku Raja pernah memegang tampuk sebagai Komander Rejimen 504 Askar Wataniah selama dua dekad iaitu dari 1 Januari 1981 hingga 31 Mac 2002 ketika menjadi Raja Muda Perlis dan menyerahkan tanggungjawab tersebut apabila menaiki takhta Kerajaan Negeri sebagai Raja Perlis kepada anakanda Baginda Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada tahun 2002.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, ‘Peranan Rejimen Askar Wataniah untuk memelihara kedaulatan dan keamanan negeri dan negara adalah bertepatan dengan prinsip Maqasid al-Syariah. Islam amat menghargai mereka yang berkhidmat serta berjihad untuk mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara’.

Pada masa yang sama sebagai rakyat, kita harus sedar, bahawa tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negeri dan negara tercinta ini bukan hanya terletak di bahu angkatan tentera sahaja, ianya adalah tanggungjawab bersama, seharusnya kita saling bekerjasama serta saling bantu-membantu dalam menjaga keamanan, kedaulatan dan keharmonian negara’.

Seterusnya Tuanku Raja menyeru kepada seluruh peringkat Rejimen Askar Wataniah, untuk sama-sama berusaha sebaik mungkin, bagi meneruskan usaha dan perjuangan dalam mencapai misi dan visi ke arah menjadikan rejimen ini sentiasa cemerlang dan berkredibiliti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button