Panggilan Mahafiraun kembali
SELEPAS bekas Peguam Negara, Tommy Thomas mendedahkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah angkara dan perbuatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sepenuhnya, serangan kepada bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu kembali.
Maka timbullah kembali gelaran Mahafiraun yang dilabelkan kepada Dr. Mahathir semasa beliau bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 22 tahun.
Gelaran itu lenyap selepas Dr. Mahathir bersekongkol dengan PH yang terdiri daripada DAP, Warisan, PKR dan Amanah serta sempat memerintah selama 22 bulan.
Bagaimanapun kerajaan berkenaan tidak dapat bertahan lama, kerana ia ibarat Tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain. Cakap Dr. Mahathir sering disanggah, terutama oleh pemimpin muda DAP.
Mereka seolah-olah melupakan jasa Dr. Mahathir yang membawa mereka ke tampuk pemerintahan di Putrajaya buat kali pertama dalam sejarah negara.
Apa boleh buat kerana terlalu ghairah untuk melakukan perubahan para pemimpin DAP melanggar segala tatasusila dan ranah sensitif iaitu hak orang Melayu dan bumiputera.
Orang Melayu dan bumiputera merupakan penduduk majoriti di negara ini dan mereka dilindungi oleh hak istimewa yang dijamin oleh Perlembagaan. Dan apabila semua itu mahu dihapuskan sedikit demi sedikit, mereka telah bergabung kembali dengan UMNO dan Pas bagi menggerakkan penentangan melalui Muafakat Nasional.
Ia terbukti berkesan apabila satu demi satu pilihan raya kecil PH telah kalah dan akhirnya memaksa Dr. Mahathir meletakkan jawatan kerana bukan sahaja terbukti tidak disokong oleh rakyat, bahkan para pemimpin PH juga hilang kepercayaan kepada beliau.
Dr. Mahathir berhasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan iaitu tiada lagi pembangkang yang ada hanya barisan pemimpin yang dipilih ke dalam kabinet berdasarkan kebolehan atau merit.
Namun idea itu murni di atas kertas tetapi ia tidak digemari oleh orang politik. Pada masa yang sama UMNO, Pas dan Bersatu telah membuat pakatan menubuhkan Perikatan Nasional (PN) dan telah mengambil-alih kerajaan.
Kini tinggallah Dr. Mahathir dengan beberapa kerat pemimpin termasuk anak beliau Datuk Seri Muhkhriz mengasaskan parti Pejuang, tetapi masih gagal mendaftarnya.
Nampaknya para pemimpih PH telah Berpatah arang berkerat rotan dengan Dr. Mahathir, mereka kembali melaung panggilan Mahafiraun.
Begitulah nasib pemimpin politik, ketika diperlukan mereka disanjung, bagaimanapun apabila tidak diperlukan mereka ditendang.