Pakej rangsangan hasil daripada reformasi kerajaan dua tahun lalu – PH
PAKATAN Harapan (PH) menyifatkan pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini adalah hasil daripada reformasi dalam perolehan kewangan kerajaan dua tahun lalu.
Dalam kenyataan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah memberi contoh penjimatan daripada projek mega seperti LRT3, MRT2 dan ERCL yang berjumlah RM45 bilion.
Menurut kenyataan itu, begitu juga dengan konsesi Plus yang disusun semula melepaskan kerajaan daripada terus membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.
“Dana yang sebelum ini diperuntukkan untuk pampasan sedimikian dalam Bajet 2020 kini boleh diperuntukkan untuk pakej rangsangan ini,” demikian menurut kenyataan berkenaan.
Muhyiddin petang tadi mengumumkan pakej rangsangan Prihatin berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada anda semua.
Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
“Kami mengalu-alukan pembayaran bantuan tunai one-off RM1,600 untuk isi rumah berpendatan bulanan bawah RM4,000 sebulan, RM1,000 untuk isi rumah dengan pendapatan bulanan melebihi RM4,000, serta bantuan tunai kepada individu yang belum berkahwin dan mahasiswa.
“Pakatan Harapan telah mencadangkan pembayaran bantuan tunai RM1,000 pada bulan Mac dan pembayaran RM1,000 pada bulan April,” jelas kenyataan bersama itu.
Menurut mereka, pakej yang diumumkan oleh Muhyiddin adalah baik untuk Makcik Kiah, watak yang digunakan untuk mewakili rakyat Malaysia selama dua bulan.
Namun kata mereka, pakej itu tidak memberi banyak impak melangkaui tempoh bagi Makcik Kiah dan seluruh pekerja dan peniaga di Malaysia.
“Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menanggung kesan ekonomi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Oleh itu subsidi gaji RM600 bagi setiap pekerja tidak mencukupi untuk mengurangkan kesan krisi ini. Kami mencadangkan supaya subsidi gaji dinaikkan kepada RM1,200 setiap pekerja,” kata mereka.
Mereka juga mempertikai beberapa butiran yang dianggap tidak jelas dalam pengumuman pakej rangsangan oleh Perdana Menteri itu.
“Kami berharap kerajaan kerajaan akan mempertimbangkan suntikan fiskal yang lebih besar dalam beberapa minggu akan datang.
“Jika tidak ekonomi negara mungkin akan menjurus kepada keadaan lebih buruk dengan lebih banyak kehilangan pekerjaan,” demikian menurut kenyataan oleh pemimpin PH itu.
Mereka juga menggesa kerajaan melancarkan pelarasan seakan ‘waktu perang’ untuk proses perolehan, pengeluaran dan pembekalan bagi lima barangan dan perkhidmatan.
PH juga meminta kerajaan mengambil pendakatan dwipartisan dalam menangai krisis ini termasuk meneruskan persidangan Parlimen pada 18 Mei atau mempercepatkanya sebaik sahaja PKP berakhir.
“Hal ini adalah dapat membolehkan kerajaan dan pembangkang membentuk pelan tindakan secara dwipartisan supaya negara bergerak ke hadapan, termasuk merangka belanjawan baharu dengan mengambil kira semua senario dan faktor terlibat,” kata mereka.
Lagi pula kata mereka, itu merupakan kelaziman dalam negara-negara demokratik untuk membahaskan pakej rangsangan ekonomi kerajaan di Parlimen untuk memastikan pelaksanaan dijalan dengan baik serta terdapat pemantauan. – SM