Paderi ditahan cabul lima lelaki OKU
MENCABUL dengan cara menyentuh, memeluk, mencium bibir dan menggeselan kemaluan mangsa yang juga orang kelainan upaya (OKU) di dalam gereja, kereta dan rumah sewa.
Itu yang dilakukan seorang paderi warga Korea berusia 54 tahun yang ditahan selepas dipercayai melakukan aktiviti tersebut sejak 2011 hingga 2016.
Kelewatan mangsa membuat laporan polis juga difahamkan kerana suspek sering mempengaruhi mangsa untuk akur setiap arahannya sebagai seorang pemimpin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak datang ke Malaysia atas pelawaan pengasas Persatuan Orang Pekak untuk menjadi paderi.
“Mangsa terdiri daripada lima orang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun dan merupakan individu pekak dan bisu.
“Kita menerima laporan pada 12 November sebelum lima lagi laporan polis menyusul selepas itu,” katanya.
Menurut Huzir, siasatan lanjut mendapati terdapat empat cawangan persatuan itu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Perak manakala dua cawangan di Sarawak iaitu di Sibu dan Kuching.
“Suspek direman selama tujuh hari berakhir 30 November lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara l, Pulau Pinang, sebelum dikuarantin hingga 8 Disember kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang tahanan yang disahkan positif COVID-19 di lokap.
“Suspek ditangkap semula bersabit laporan polis dibuat di Kepala Batas dan direman selama empat hari bagi siasatan dua kes di Pulau Pinang,” katanya.
Suspek direman selama enam hari bermula 13 Disember hingga esok bersabit laporan polis di Petaling Jaya, sebelum bakal berhadapan dengan dua tuduhan di Mahkamah Butterworth Pulau Pinang pada 21 Disember depan. -SM