Orang muda lebih mudah dibawa berunding
POLITIK negara kita kini dikuasai ahli politik veteran. Mereka yang sebelum ini seolah-olah telah hilang dari radar tiba-tiba muncul kembali.
Kekuatan ahli politik veteran mereka telah sedia dikenali oleh para pengundi di kawasan mereka, kerana sekian lama telah menabur bakti dengan pelbagai cara dan bentuk.
Namun penguasaan golongan veteran politik ini tidak baik untuk masa hadapan negara, kerana selain terbelenggu dengan fahaman lama yang tidak dinamik, juga mempunyai bagasi yang banyak untuk dipikul bersama rakyat.
Golongan veteran ini sentiasa mempunyai bala tentera yang sanggup bermati-matian untuk mereka, tetapi dek kerana terlalu lama berakar-umbi, mahar untuk menggerakkan bala tentera ini bukannya kecil seperti para pemimpin muda.
Jurus politik veteran kebanyakan masa sukar dibaca dan menyebabkan situasi yang tidak menentu di dalam politik negara.
Hanya beberapa pemimpin politik veteran yang masih mengekalkan tahap relevan mereka termasuklah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Annuar Musa.
Muhyiddin walaupun tidak kerap turun padang, tetapi sentuhan beliau sentiasa menenangkan masyarakat walaupun dalam situasi krisis ketika ini.
Annuar pula ialah pemimpin veteran yang paling tinggi tahap keprihatinannya dan kerap turun padang dengan pelbagai program lapangan, walaupun beliau sebenarnya sangat sibuk dengan mesyuarat.
Oleh itu dalam hal ini pemimpin muda lebih mudah dibawa berbincang kerana tahap kedegilan mereka.
Jadi apabila saya terbaca hantaran ahli politik muda, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz di media sosial yang menceritakan bagaimana beliau bersama-sama pemimpin UMNO, PPBM dan Pas bekerjasama serta berganding bahu melaksanakan program kemasyarakatn, ia benar-benar menjelaskan senario politik terkini tanah air.
Tiada muslihat dan tiada helah bahkan sudah terang lagi bersuluh ketiga-tiga parti berkenaan perlu bekerjasama kerana ia mewakili orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk negara ini. Jika politik orang Melayu stabil, maka seluruh negara akan stabil.
Perbuatan menanam kebencian dalam kalangan masyarakat tidak memberi manfaat kepada khalayak dan akhirnya rakyat yang sengsara.
Justeru kelompok muda ini menolak politik sedemikian, sebaliknya bersepakat dengan menetepikan kepentingan diri dan kumpulan masing-masing.
Moga inisiatif kelompok muda ini terus berjalan lancar dan menjadi harapan untuk masa hadapan negara yang lebih baik.