Politik

Orang muda bila dah tua nak jadi parti apa pula? – Hadi

PAS tidak bimbang dengan kewujudan parti baharu untuk orang muda, cuma persoalan yang ditimbulkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah bila sudah tua mereka mahu jadi parti apa pula.

Abdul Hadi berkata, Pas tidak terkesan dengan parti baharu yang dikatakan akan ditubuhkan oleh bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu.

Katanya, Ahli Parlimen Muar itu berhak menubuhkan parti baharu selagi ia tidak melanggar undang-undang.

“Kita negara demokrasi, bebas buat parti, ikut peraturan (asalkan) tak menyalahi undang-undang. Relevan atau tidak, boleh pergi jauh atau tidak, saya tidak tahu masa depan.
“Sama ada bagus atau tidak, saya tidak tahu, cuma orang muda bila tua nak jadi parti apa pula,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Rusila di Terengganu seperti yang dipetik dari Berita Harian.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hasrat Syed Saddiq menubuhkan parti khusus golongan muda tidak akan berjaya.

Katanya, biarpun golongan muda mewakili majoriti yang besar dalam senarai pemilih, namun ia masih tidak mencukupi untuk memenangi sesebuah kawasan pilihan raya.

Mengulas mengenai dakwaan Perikatan Nasional (PN) adalah satu pakatan yang longgar, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan sebenarnya PN bukan gabungan yang longgar tetapi ia ia parti yang fleksibel.

PN katanya tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang bertelagah sesama sendiri.

“Kita fleksibel, kita punya pendekatan berbeza tapi ada titik persamaan nak selamatkan negara, kita boleh bertahan walaupun dalam majoriti yang sedikit sahaja, cuba nak jatuh tak berjaya.

“Pas juga tidak berpura-pura sebaliknya ikhlas dalam menjayakan PN,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button