Politik

Orang Kedah dapat Menteri Besar baharu petang ini?

SPEKULASI mengenai kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah dikatakan bakal terjawab petang ini.

Dikatakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenari, Muhamad Sanusi Md Nor akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yan baharu bagi menggantikan Mukhriz.

Kedudukan Mukhriz tergugat selepas hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran tindakan dua ADUN  daripada PKR bertindak keluar dari parti itu.

ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Memetik laporan Kedah Gazette difahamkan nama Mohamad Sanusi merupakan satu-satunya yang disenaraikan sebagai bakal dilantik Menteri Besar Kedah.

Portal berita itu melaporkan majlis mengangkat sumpah Menteri Besar akan berlangsung pada pukul 2 petang ini di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Dikatakan ia akan dimulai dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim melafazkan surat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar.

Selepas itu Menteri Besar yang baharu akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan menandatangi surat sumpah tersebut.

Sultan Sallehuddin kemudian akan mengurniakan tauliah pelantikan.

Pada Selasa lalu, 23 ADUN Kedah menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

Mohamad Sanusi yang juga ketua pembangkang di DUN, dalam sidang media berkata, kesemua ADUN termasuk empat dari Bersatu dan dua dari bekas ADUN PKR telah menandatangani akuan berkanun bagi menyatakan hilang keyakinan mereka terhadap Mukhriz.

Menurutnya, akuan berkanun tersebut telah diserahkan kepada setiausaha kerajaan negeri untuk diserahkan kepada Istana bagi mendapatkan perkenan Sultan Kedah.

Tetapi sehari selepas itu, Mukhriz berkata, beliau masih Menteri Besar Kedah dan menafikan kerajaan negeri pimpinannya sudah jatuh.

Mukhriz berkata pada masa ini suasana politik di Kedah masih terkawal dan pihaknya masih menjalankan tugas-tugas pentadbiran seperti biasa termasuk mengadakan Mesyuarat Exco.

“Saya masih lagi Menteri Besar dan kerajaan negeri masih wujud dan tidak benar dakwaan bahawa kerajaan ini sudah jatuh,” katanya kepada pemberita

Mukhriz berkata, jika ada pihak yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, masih banyak proses yang perlu dilaksanakan termasuk yang melibatkan perkenan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, sebelum berlakunya peralihan kuasa kerajaan negeri. -SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button