Nasional

Operasi premis perniagaan diseragam 6 pagi hingga 12 tengah malam

Operasi premis perniagaan stesen minyak, restoran, kedai makan, kedai serbaneka akan dibenarkan beroperasi secara seragam di semua fasa dengan waktu beroperasi mulai 6:00 pagi hingga 12:00.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kebenaran tersebut bagaimanapun tidak meliputi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini.

“Ini akan diangkat ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok untuk disyorkan oleh Perdana Menteri sebelum diputuskan tarikh berkuatkuasa.

“Penting untuk saya menjelaskan fokus Menteri- Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat. Our focus is #ReopeningSafely,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.

Menurut Hishammuddin, menuju ke fasa endemik lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat.

Justeru beliau berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP-SOP serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Ia harus dititikberatkan kerana sebaik sahaja Kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus COVID-19,” katanya.

Beliau sebelum ini telah mengumumkan kerajaan ketika ini dalam peringkat akhir mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya kepada 10 SOP berbanding 181 yang ada ketika ini.

Menurutnya, usaha tersebut berjalan dengan baik sekaligus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan bulan Oktober.

Dalam mesyuarat tersebut Menteri Pelancongan, YB Datuk Seri Hajjah Nancy Shukri membentangkan mengenai perkembangan terkini pelaksanaan projek perintis gelembung perjalanan Langkawi.

“Alhamdulillah, kita dimaklumkan setakat ini ia berjalan lancar seperti yang telah dirancang.

“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, ia berupaya menjadi pembuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif gelembung perjalanan di destinasi-destinasi yang lain,” katanya.

Tambah Hishammuddin, Menteri-Menteri Kuartet telah menetapkan tempoh dua minggu untuk menilai perkembangan di Langkawi sebelum mengangkat cadangan destinasi-destinasi lain ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID19 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu membentangkan mengenai potensi pembukaan stadium kepada orang awam bagi menonton perlawanan bola sepak serta sukan-sukan yang sesuai.

Kata Hishammuddin, cadangan itu masih diperingkat perbincangan dan akan diangkat untuk diteliti di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button